Web Menarik

Thursday, November 10, 2011

Motivasi Pembelajaran Kemahiran Mendengar Bahasa Arab

Motivasi Pembelajaran Kemahiran Mendengar Bahasa Arab dan

Hubungannya dengan Pencapaian Pelajar

(Learning Motivation of Arabic Listening Skills and Its Relationship With Students’ Achievement)



NIK MOHD RAHIMI NIK YUSOFF

ZAMRI MAHAMOD

KAMARULZAMAN AB. GHANI



ABSTRAK

Tujuan kajian ini adalah untuk: (1) Mengenal pasti tahap motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab, (2) Mengenal pasti tahap pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab, (3) Mengenal pasti hubungan antara motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab dengan pencapaian, dan (4) Mengenal pasti perbezaan pencapaian antara tiga kumpulan tahap motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab. Kajian ini berbentuk kajian tinjauan dengan seramai 824 pelajar sebagai sampel kajian. Dua instrumen penyelidikan yang digunakan oleh kajian ini untuk mengumpulkan data kajian, iaitu soal selidik dan ujian kemahiran mendengar bahasa Arab. Dapatan kajian menunjukkan: (a) Tahap motivasi pembelajaran kemahiran mendengar berada pada tahap tinggi, (b) Tahap pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab pada tahap sederhana,

(3) Terdapat hubungan yang signifikan antara motivasi dan pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab, dan (d) Terdapat perbezaan yang signifikan antara tiga kumpulan motivasi pembelajaran.

ABSTRACT

The aims of this study are: (1) To identify the level of motivation in learning Arabic listening skills, (2) To identify the level of Arabic listening skills, (3) To identify the relationship between motivation and Arabic listening skills, and

(4) To identify the differences between three group, namely high, moderate, and low motivation. This study used the cross sectional research design and employed two research instruments to collect the data, namely questionnaire and Arabic listening test. The results showed: (a) the motivation at the high level, (b) the Arabic listening skills at the moderate level, (c) there was a significant relationships between motivation and Arabic listening skills, and

(d) there was a significant differences between the three group.



PENGENALAN



Kemahiran mendengar adalah salah satu daripada komponen pembelajaran bahasa bersama dengan kemahiran bertutur, membaca dan menulis. Walaupun begitu, dalam konteks pengajaran, kemahiran mendengar tidak begitu diberi penekanan hingga menyebabkan pelajar-pelajar tidak menyedari kepentingan kemahiran mendengar kepada mereka. Implikasinya, pelajar-pelajar tidak begitu berkeyakinan untuk berinteraksi dalam bahasa Arab sesama mereka, mahupun dengan guru mereka. Kurang penekanan terhadap kemahiran mendengar bahasa Arab dalam pengajaran juga memberi kesan kepada motivasi dalaman pelajar (Nik Mohd Rahimi 2005). Sekaligus, ini menjejaskan daya komunikasi bahasa Arab dalam kalangan pelajar, kerana untuk berkomunikasi, seseorang pelajar memerlukan dorongan motivasi yang tinggi. Tanpa dorongan motivasi, pelajar-pelajar akan mengambil sikap berdiam diri, dan tidak berkomunikasi. Sikap ini tidak akan membantu pelajar-pelajar meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelajar, dan juga menjejaskan pencapaian mereka.

PERNYATAAN MASALAH

Mengikut Lightbown dan Spada (1999) banyak keputusan kajian yang telah membuktikan elemen motivasi memberi sumbangan kepada pencapaian bahasa kedua dalam kalangan pelajar. Namun, sebab dan penyebab antara motivasi dengan pencapaian bahasa kedua ini masih menjadi tanda tanya kepada pengkaji-pengkaji. Dalam hal ini, Skehan (1998) menjelaskan kesamaran ini dalam bentuk persoalan, iaitu adakah kerana pelajar bermotivasi tinggi menyebabkan ia mendapat pencapaian yang tinggi atau adakah kerana pelajar itu berjaya menyebabkan ia bermotivasi tinggi? Biar apapun, yang pastinya ialah motivasi dan sikap mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian (Gadner 1985).

Misnan (1999) telah menjalankan kajian tentang hubungan antara motivasi pembelajaran bahasa Arab dengan pencapaian Bahasa Arab Komunikasi dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Hasil kajiannya menunjukkan wujudnya hubungan yang signifikan antara motivasi dengan pencapaian. Begitu juga, beliau telah mencari perbezaan motivasi antara pelajar cemerlang dengan motivasi pelajar tidak cemerlang. Keputusannya mendapati min motivasi pelajar cemerlang lebih tinggi berbanding pelajar tidak cemerlang. Dapatan kajian Misnan (1999) ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi dalam pembelajaran bahasa Arab, juga mendapat pencapaian yang tinggi dalam mata pelajaran Bahasa Arab. Walau bagaimanapun, motivasi dalam kajian tersebut dihubungkaitkan dengan pencapaian Bahasa Arab Komunikasi dalam PMR, yang mana peperiksaan ini tidak mengandungi ujian kemahiran mendengar bahasa Arab.

Dahab (1997) juga mendapati keputusan yang sama dalam kajian penilaian Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah Bahasa Arab, yang mana secara keseluruhannya, pelajar-pelajar mempunyai motivasi yang tinggi dalam pembelajaran bahasa Arab. Dapatan kajian Dahab (1997) menunjukkan bahawa wujudnya hubungan yang signifikan antara motivasi dengan pencapaian bahasa Arab. Walau bagaimanapun, mengikut keputusan pencapaian pelajar-pelajar, dapatan menunjukkan hanya menyerlah dalam kemahiran membaca sahaja, manakala dalam kemahiran berbahasa yang lain, iaitu mendengar, bertutur, dan menulis tidak begitu memuaskan. Ini menunjukkan bahawa wujudnya hubungan yang signifikan antara motivasi pelajar dengan kemahiran membaca, tetapi tidak kepada kemahiran berbahasa yang lain termasuk kemahiran mendengar.

Barr, Dittmar, Roberts dan Sheraden (2002) menjalankan kajian terhadap motivasi pelajar-pelajar dalam kemahiran mendengar. Dapatan kajian mereka mendapati pelajar-pelajar tidak begitu mempamerkan kemahiran mendengar yang baik. Antara perkara yang negatif yang berkaitan dengan motivasi dalam kemahiran mendengar ialah pelajar-pelajar kurang membuat hubungan kontak mata dengan penceramah (52%), tingkah laku yang kurang menyenangkan (18%), meminta guru mengulang arahan-arahan (13%), tidak mempunyai kebolehan untuk menjayakan sesuatu tugas yang diberikan (11%), dan gaya kedudukan tidak mencerminkan gaya kemahiran mendengar yang berkesan. Sekaligus ini menunjukkan pelajar-pelajar tidak begitu mempunyai motivasi yang tinggi dalam pembelajaran kemahiran mendengar yang baik.

Maimun dan Jamaliah ( 2007 ) mengkaji tentang motivasi pembelajaran bahasa Arab dalam kalangan pelajar. Kajian mereka mendapati pelajar-pelajar mempunyai motivasi yang tinggi. Walaupun demikian, masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ialah mereka tidak mengetahui cara pembelajaran yang berkesan untuk belajar bahasa Arab. Ini telah menyebabkan mereka tidak dapat menguasai bahasa Arab tinggi dengan baik.

TUJUAN KAJIAN

Tujuan kajian ini adalah untuk mengenal pasti hubungan antara motivasi pembelajaran kemahiran mendengar dengan pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab. Manakala tujuan terperinci adalah untuk: (1) Mengenal pasti tahap motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab; (2) Mengenal pasti tahap pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab; (3) Mengenal pasti hubungan antara motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab dengan pencapaian; dan (4) Untuk mengenal pasti perbezaan pencapaian antara tiga kumpulan tahap motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab. Berdasarkan kepada tujuan terperinci ini, dibina soalan kajian, iaitu: (1) Apakah tahap motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab? (2) Apakah tahap pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab? (3) Apakah terdapat hubungan antara motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab dengan pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab? (4) Apakah terdapat perbezaan yang signifikan antara tiga kumpulan tahap motivasi pembelajaran kemahiran mendengar dalam pencapaian?.

ULASAN KEPUSTAKAAN

Ee Ah Meng (1997) menyatakan istilah motivasi berasal daripada perkataan Latin movere yang bermakna ’menggerakkan’. Oleh yang demikian, motivasi bermakna sesuatu usaha yang menggerakkan seseorang individu untuk melakukan sesuatu. Motivasi dipengaruhi oleh dua faktor (Murray 1964), iaitu motivasi dalaman dan motivasi luaran. Motivasi dalaman termasuk kelaparan, kehausan, kepuasan, dan perasaan. Dalam konteks pembelajaran, motivasi dalaman termasuk motivasi untuk membuat latihan sesuatu mata pelajaran, motivasi untuk menguasai ilmu dan kemahiran sesuatu mata pelajaran, dan motivasi rasa seronok mempelajari sesuatu mata pelajaran. Motivasi luaran termasuk pendapatan, kenaikan gaji, kenaikan pangkat dan penghargaan. Kedua-dua faktor ini akan mendesak seseorang ke arah satu matlamat. Aspek yang menjadi fokus kajian ini ialah aspek motivasi dalaman.

Dalam pembelajaran bahasa kedua, motivasi dapat memberi sumbangan kepada peningkatan pencapaian bahasa yang dipelajari. Kajian Fadzilla, Parilah dan Fauziah (2007) mendapati sebahagian besar pelajar yang mempunyai tahap motivasi yang tinggi untuk belajar bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di dalam kelas mendapat pencapaian yang tinggi. Antara aspek motivasi yang menjadi fokus kajian ialah kesungguhan pelajar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris bersama rakan sebaya dan guru mereka, dan mereka juga menghadiri kelas bimbingan bagi memastikan mereka lebih memahami bahasa Inggeris di sekolah. Menurut Lundsteen (2001), kesungguhan untuk memperbaiki penggunaan pelajar terhadap bahasa dan pencapaian tidak hanya bergantung pada penggunaan bahan pandang-dengar dan guru, tetapi guru juga perlu memahami sikap pelajar dan faktor-faktor yang mempengaruhi sikap dan motivasi mereka. Oleh itu, sikap dan motivasi mampu memberi impak terhadap tahap pencapaian mereka sama ada di sekolah mahupun di pusat pengajian tinggi. Dalam pada itu, motivasi juga memberi sumbangan kepada peningkatan penguasaan pelajar-pelajar dalam mata pelajaran lain. Siti Meriam dan Zanaton (2002) pula menjalankan kajian mengenai motivasi pelajar aliran Sains di Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)terhadap pembelajaran dwikurikulum mendapati pencapaian sesuatu kejayaan berpunca daripada sikap pelajar sendiri serta motivasi daripada ibu bapa dan guru.

Kemahiran mendengar merupakan kemahiran asas dalam proses mempelajari bahasa (Nik Mohd Rahimi 2003). Seseorang pelajar yang mempunyai kemahiran ini dengan baik, kebiasaannya, dapat memahami maksud serta membuat tafsiran daripada apa yang telah didengarinya (Kamarudin 1986). Wan Izzuddin dan Wan Hasni (1991) memberikan pandangan bahawa ramai pelajar tidak mempunyai kemahiran mendengar yang baik disebabkan mereka tidak memberikan daya tumpuan yang jitu terhadap guru yang sedang mengajar di dalam kelas. Kadang-kadang pelajar gagal memberikan perhatian kepada guru kerana mereka menjalankan aktiviti lain semasa mendengar seperti menulis, mencatat nota dan ada pula yang cuba membaca buku.

Sementara itu, dalam konteks perkembangan kanak-kanak, kemahiran mendengar merupakan komponen kemahiran berbahasa yang pertama dikuasai oleh kanak-kanak, dan sekaligus menjadi asas kepada penguasaan semua aspek bahasa manusia dan juga menjadi asas kepada perkembangan kognitif kanak-kanak (Hyslop & Tone 1988). Justeru, perkembangan kognitif kanak-kanak mempunyai hubungan dengan kemahiran mendengar. Mungkin sebab itulah, kanak-kanak yang dilahirkan sebagai kanak-kanak istimewa dari segi deria pendengarannya akan menghadapi masalah kelewatan dalam perkembangan kognitifnya dan mengambil masa yang lama untuk menguasai sesuatu disiplin ilmu pengetahuan. Dalam pada itu, pendengaran merupakan kemahiran yang paling banyak digunakan oleh setiap individu. Kajian yang telah dijalankan oleh Sperry Corporation (Martel 1984) mendapati bahawa manusia menggunakan 80 peratus (%) dari waktu sedarnya untuk berkomunikasi, dan daripada jumlah itu 45% digunakan untuk mendengar, 30% untuk bertutur, 16% untuk membaca, dan 9% untuk menulis. Sekaligus, ini menunjukkan bahawa aspek pendengaran memainkan peranan utama penerimaan maklumat.

Hal ini berlainan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di mana kemahiran mendengar tidak begitu mendapat perhatian dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian yang dibuat oleh Burley-Allen (1995) mendapati masa yang dihabiskan untuk latihan kemahiran mendengar adalah kurang dari enam bulan daripada 12 tahun kurikulum persekolahan rasmi, berbanding masa yang dihabiskan untuk latihan kemahiran menulis selama 12 tahun. Justeru Wolff et al. (1983) menyifatkan kemahiran mendengar sebagai anak yatim, yang tidak dipedulikan dalam dunia pendidikan. Hunsaker (1990) menjelaskan sebilangan kecil sahaja institusi-institusi pendidikan memasukkan kemahiran mendengar kritikal dalam kurikulum mereka. Dalam satu kajian lain pula, Wolff, Marsnik, Tacey dan Nichols (1983) mendapati 52% penekanan pengajaran di dalam kelas untuk kemahiran membaca dan 8% sahaja untuk kemahiran mendengar. Weiten dan Lloyd (1994) pula menyatakan bahawa latihan kemahiran mendengar merupakan kemahiran yang kurang diberi perhatian dalam latihan kemahiran komunikasi, sedangkan seseorang itu menggunakan masa jauh lebih banyak untuk mendengar berbanding bertutur. Ini selaras dengan dapatan kajian tindakan Barr et al. (2002) yang mendapati kemahiran mendengar yang efektif tidak dilatih secara formal di dalam kelas. Sementara itu, dalam pengajaran bahasa kedua, Nunan (1999) juga mendapati kemahiran mendengar diabaikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua di mana ia lebih banyak tertumpu kepada penguasaan kemahiran bertutur.

Selain itu, kajian tentang kemahiran mendengar sebagai teknik pembelajaran tidak begitu menjadi fokus penyelidik-penyelidik pengajaran dan pembelajaran. Mohamed Fadzil (2001) menegaskan bahawa kajian tentang kemahiran mendengar sudah banyak dijalankan di luar negara terutama dalam bidang pendidikan, pembelajaran, kepengurusan, kekeluargaan, perkahwinan, komunikasi dan kaunseling, tetapi tidak begitu menjadi fokus penyelidikan dalam negara. Hal ini tidak jauh berbeza dengan konteks pendidikan bahasa, iaitu kajian kemahiran mendengar masih kurang berbanding dengan aspek kemahiran bertutur, membaca dan menulis, kerana pakar-pakar linguistik lebih gemar menggunakan bahasa bertulis untuk mengkaji sistem sesuatu bahasa (Abdul Rashid 1995).

Kecekapan kemahiran mendengar mempunyai kaitan dengan penyerapan masuk maklumat yang didengar. Satu kajian telah dijalankan oleh Sperry Corpo-ration (Martel 1984) menunjukkan separuh sahaja maklumat yang dapat diterima oleh pendengar. Dalam kajian itu, subjek diminta mendengar syarahan selama 10 minit dan selepas itu ujian terus dijalankan. Keputusan menunjukkan purata subjek (pendengar) dapat mengekalkan 50% daripada maklumat yang disampaikan dalam syarahan tersebut. Kemudian ujian ini dijalankan sekali lagi selepas 48 jam, keputusannya mendapati subjek dapat mengekalkan satu perempat maklumat asal daripada syarahan tersebut. Ini menunjukkan bahawa maklumat yang diperoleh melalui deria pendengaran tidak sepenuhnya dapat diterima oleh minda para pendengar, jika mereka tidak begitu mahir dalam kemahiran mendengar.

METODOLOGI

Reka bentuk kajian ini ialah kajian tinjauan. Kajian ini dijalankan di sekolah menengah agama negeri. Responden yang terlibat dalam kajian ini seramai 824 pelajar, dan teknik pemilihan sampel adalah secara rawak. Kajian ini menggunakan dua instrumen, iaitu soal selidik dan ujian kemahiran mendengar bahasa Arab. Soal selidik kajian ini dibahagi kepada dua bahagian. Bahagian I adalah untuk mendapatkan maklumat latar belakang responden. Bahagian II adalah untuk mengenal pasti motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab. Sebanyak 12 item dibina dalam bahagian ini dan item-item ini ditunjukkan dalam Jadual 1. Tiga aspek yang menjadi tumpuan dalam item ini, iaitu (1) motivasi membuat latihan kemahiran mendengar bahasa Arab, iaitu item 1, 2, 8, 9, 10, dan 12; (2) motivasi berusaha untuk menguasai kemahiran mendengar bahasa Arab, iaitu item 3, 4, 5 dan 7; dan (3) motivasi keseronokan belajar kemahiran mendengar bahasa Arab, iaitu item 6, dan 11.

Instrumen kedua pula ialah ujian kemahiran mendengar bahasa Arab yang dibahagikan kepada lima kategori, iaitu (1) kategori pertama ialah subkemahiran kefahaman mendengar bunyi bahasa Arab; (2) kategori kedua ialah subkemahiran kefahaman mendengar perkataan secara leksikal; (3) kategori ketiga ialah subkemahiran kefahaman mendengar perkataan secara kontekstual; (4) kategori keempat ialah subkemahiran kefahaman mendengar teks secara literal; dan (5) kategori subkemahiran kefahaman mendengar secara inferential. Kelima-lima kategori ini diselerakkan kepada lapan bahagian ujian kemahiran mendengar bahasa Arab.

Untuk tujuan analisis data, kajian ini mengkategorikan skor min kepada tiga mata, iaitu min = 1.00 hingga min = 2.33 ialah rendah, min = 2.34 hingga min = 3.67 ialah sederhana, dan min = 3.68 hingga min = 5.00 ialah tinggi. Untuk interpretasi skor markah ujian kemahiran mendengar bahasa Arab, kajian ini mengkategorikan kepada tiga tahap penilaian skor min, iaitu min = 0.00 hingga min = 39.99 ialah lemah, min = 40.00 hingga min = 69.99 ialah sederhana, dan min = 70.00 hingga min = 100.00 ialah tinggi. Untuk Pekali Korelasi pula, kajian ini menggunakan skala Alias Baba (1997) r = 0.00 hingga r = 0.20 tahap hubungannya sangat rendah, r = 0.21 hingga r = 0.40 tahap hubungannya rendah, r = 0.41 hingga r = 0.60 tahap hubungannya sederhana, r = 0.61 hingga r = 0.80 tahap hubungannya tinggi, dan r = 0.81 hingga r = 1.00 tahap hubunganya sangat tinggi.

DAPATAN KAJIAN

Jadual 1 menunjukkan taburan peratusan dan min motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab. Berdasarkan jadual tersebut, keputusan min bagi aspek motivasi membuat latihan kemahiran mendengar bahasa Arab, menunjukkan dua item berada pada tahap sederhana dan empat item berada pada tahap tinggi. Item yang berada pada tahap sederhana ialah item 1 dan 2, masing-masing keputusan min ialah min = 3.13 dan min = 3.30.

Taburan peratusan item 1 menunjukkan lebih ramai responden pelajar yang menyatakan setuju (40.2%), bahawa mereka akan membuat latihan mendengar dengan mendengar kaset bahasa Arab, walaupun tidak diminta oleh guru, berbanding yang menyatakan tidak setuju (26.5%). Taburan peratusan item 2 menunjukkan lebih ramai responden yang menyatakan setuju (49.7%) bahawa mereka akan membuat latihan mendengar dengan menonoton filem bahasa Arab, walupun tidak diminta oleh guru, berbanding yang menyatakan tidak setuju (20.8%).

Item yang berada pada tahap tinggi ialah 8, 9, 10 dan 12, masing-masing keputusan min ialah min = 4.33, min = 3.96, min = 3.92, dan min = 4.05. Taburan peratusan item 8 menunjukkan seramai 87.3% responden pelajar yang menyatakan setuju bahawa kemahiran mendengar bahasa Arab penting kepada mereka pada masa hadapan. Taburan peratusan item 9 menunjukkan seramai 86.1% responden pelajar menyatakan setuju bahawa mereka berasa risau jika mereka tidak faham soalan kefahaman. Taburan peratusan item 10 menunjukkan seramai 72.5% responden pelajar yang menyatakan setuju bahawa mereka ingin membuat latihan kemahiran mendengar bahasa Arab sebanyak mungkin. Taburan peratusan item 12 menunjukkan seramai 80.3% responden pelajar menyatakan bahawa mereka rasa ketinggalan jika mereka tidak dapat menjawab soalan kefahaman guru secara lisan. Sekaligus, dapatan ini menunjukkan sebahagian besar responden pelajar mempunyai motivasi membuat latihan kemahiran mendengar bahasa Arab.

JADUAL 1. Taburan peratusan dan min motivasi pelajar terhadap kemahiran mendengar bahasa arab

Motivasi 1 2 3 4 5 Min

1. Walaupun tidak diminta oleh 6.5% 20.0% 33.3% 33.6% 6.6% 3.13

guru, saya membuat latihan

mendengar dengan mendengar

kaset bahasa Arab.

2. Walaupun tidak diminta 4.7% 16.1% 29.5% 43.2% 6.5% 3.30

oleh guru, saya membuat

latihan mendengar dengan

menonton filem video dan

VCD bahasa Arab.

3. Saya risau apabila saya 2.8% 6.4% 12.4% 44.9% 33.5% 3.99

tidak memahami orang

bercakap dalam bahasa

Arab.

4. Jika saya mendengar 0.2% 2.0% 15.4% 47.7% 34.4% 4.14

perkataan yang saya tidak

faham, saya akan bertanya

kepada guru.

5. Jika saya mendengar 0.7% 3.0% 13.7% 56.5% 28.1% 4.04

perkataan yang saya tidak

faham, saya akan bertanya

kepada rakan-rakan.

6. Saya rasa seronok jika saya 0.6% 0.5% 4.3% 28.2% 66.4% 4.57

dapat mendengar dan

memahami dengan baik

pengajaran guru dalam

bahasa Arab.

7. Saya rasa, saya ini 7.1% 15.6% 32.2% 32.1% 13.0% 3.28

tergolong dalam orang yang

lemah dalam kemahiran

mendengar bahasa Arab.

8. Kemahiran mendengar 1.7% 2.4% 8.6% 35.9% 51.4% 4.33

bahasa Arab tidak penting

kepada saya pada masa

hadapan.



Motivasi Pembelajaran Kemahiran Mendengar Bahasa Arab 11

JADUAL 1. (samb)

Motivasi 1 2 3 4 5 Min

9. Saya rasa risau jika saya tidak memahami soalan 4.5% 5.6% 13.9% 40.7% 35.3% 3.96

kefahaman yang ditanyakan oleh guru kepada saya. 10. Saya ingin membuat latihan kemahiran mendengar bahasa Arab sebanyak mungkin. 11. Saya suka membantu kawan-kawan yang tidak dapat menjawab soalan kefahaman semasa guru mengajar. 12. Saya rasa ketinggalan jika saya tidak dapat menjawab soalan kefahaman guru secara lisan. 1.5% 1.7% 2.1% 3.8% 4.6% 4.7% 22.2% 22.2% 12.9% 45.8% 52.4% 46.5% 26.7% 19.1% 33.8% 3.92 2.82 4.05

Min keseluruhan=3.74, sisihan piawai=0.34



Bagi aspek motivasi berusaha menguasai kemahiran mendengar bahasa Arab dapatan kajian menunjukkan satu min berada pada tahap sederhana dan tiga berada pada tahap tinggi. Item yang berada pada tahap sederhana ialah 7 (min = 3.26). Taburan peratusan item 7 menunjukkan lebih ramai responden pelajar yang menyatakan setuju (45.1%) bahawa mereka tergolong dalam orang-orang yang lemah kemahiran mendengar bahasa Arab, berbanding yang menyatakan tidak setuju (22.7%). Item yang berada pada tahap tinggi ialah 3, 4, dan 5, masing-masing keputusan min ialah min = 3.99, min = 4.14, dan min = 4.04. Taburan peratusan 3 menunjukkan seramai 78.4% responden pelajar menyatakan setuju bahawa mereka risau jika mereka tidak memahami orang bercakap dalam bahasa Arab. Taburan peratusan item 4 menunjukkan seramai 82.4% responden pelajar yang menyatakan setuju bahawa jika mereka terdengar perkataan yang tidak difahami, mereka akan bertanya kepada guru. Taburan peratusan item 5 menunjukkan seramai 82.6% responden pelajar yang menyatakan setuju bahawa jika mereka terdengar perkataan yang tidak difahami mereka akan bertanya kepada rakan-rakan. Oleh itu, secara keseluruhan, dapatan ini menunjukkan sebahagian besar responden pelajar mempunyai motivasi berusaha untuk menguasai kemahiran mendengar bahasa Arab.

Bagi aspek motivasi keseronokan belajar kemahiran mendengar bahasa Arab, keputusan min menunjukkan satu item berada pada tahap sederhana dan satu lagi berada pada tahap tinggi. Item yang berada pada tahap sederhana ialah item 11 (min = 2.82). Taburan peratusan menunjukkan lebih ramai responden yang menyatakan setuju (71.5%) bahawa mereka suka membantu kawan-kawan yang tidak dapat menjawab soalan kefahaman, berbanding yang menyatakan tidak setuju (6.3%). Item yang berada pada tahap tinggi ialah item 6 (min = 4.58). Taburan peratusan item 6 menunjukkan seramai 94.6% responden pelajar menyatakan mereka setuju bahawa mereka rasa seronok jika dapat mendengar dan memahami dengan baik pengajaran guru dalam bahasa Arab. Justeru dapatan ini menunjukkan sebahagian besar responden mempunyai motivasi keseronokan belajar kemahiran mendengar bahasa Arab.

Keputusan pencapaian pelajar-pelajar dalam kemahiran mendengar bahasa Arab ditunjukkan dalam Jadual 2. Keputusan mendapati pelajar yang mendapat tahap tinggi ialah 118 orang ( 14.4% ). Bagi tahap sederhana pula, seramai 634 orang (75.9% ), dan seramai 82 pelajar (9.7%) mendapat tahap rendah. Keputusan min keseluruhan menunjukkan pencapaian pelajar dalam kemahiran mendengar bahasa Arab, secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana, iaitu min = 58.19.

JADUAL 2. Peratusan gred pencapaian pelajar-pelajar dalam kemahiran mendengar bahasaArab

Tahap Kekerapan Peratusan

Tinggi 118 14.4%Sederhana 634 75.9%Lemah 82 9.7%

Min = 58.19, Sisishan Piawai = 13.25

Ujian pekali korelasi ditunjukkan dalam Jadual 3. Dapatan kajian mendapati nilai r ialah r = 0.613 pada aras signifikan 0.05. Ini menunjukkan motivasi pembelajaran kemahiran mendengar mempunyai hubungan yang positif dengan pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab. Kekuatan hubungan antara kedua pemboleh ubah itu berada pada tahap hubungan yang tinggi, iaitu antara r = 0.61 hingga r = 0.80. Ini menunjukkan pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi, juga mendapat keputusan yang tinggi dalam pencapaian kemahiran

JADUAL 3. Ujian pekali korelasi motivasi dengan pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab

Pemboleh Ubah r r2 Sig.

Motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab Pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab 0.613* 0.376 0.01



*signifikan pada aras = 0.05

mendengar bahasa Arab. Oleh itu, dapat disimpulkan semakin tinggi motivasi pembelajaran kemahiran mendengar, semakin tinggi pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab. Begitu juga sebaliknya, semakin rendah motivasi pembelajaran kemahiran mendengar, semakin rendah pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab.

Ujian Anova sehala ditunjukkan dalam Jadual 4. Keputusan ujian Anova mendapati terdapat perbezaan yang signifikan antara tiga kumpulan, iaitu kumpulan motivasi tinggi, sederhana dan rendah. Jadual 5 menunjukkan perbezaan min antara ketiga-tiga kumpulan berkenaan. Jadual 6 pula menunjukkan hasil ujian Scheffe’s yang menunjukkan perbezaan yang signifikan antara ketiga-tiga kumpulan berkenaan. Ini menunjukkan pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi dalam pembelajaran kemahiran mendengar mempunyai perbezaan yang signifikan dengan kumpulan motivasi yang sederhana dan rendah. Begitu juga kumpulan motivasi rendah mempunyai perbezaan yang signifikan dengan kumpulan motivasi sederhana. Ini menunjukkan pelajar-pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi juga mendapat keputusan yang tinggi dalam pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab.

JADUAL 4. Ujian Anova satu hala bagi tahap kemahiran mendengar antara kumpulan-kumpulan pelajar mengikut tahap minat

Punca Variasi dK Jumlah Anggaran F K Kuasa Dua Varian

Antara kumpulan 2 41.49 2367 12.95 0.00* Dalam kumpulan 223 447.38 16 Jumlah 225 488.78

JADUAL 5. Keputusan min kumpulan-kumpulan

Kumpulan Min Sisihan Piawai

Tinggi 83.5 1.3

Sederhana 62.7 0.8

Rendah 41.9 1.8



JADUAL 6. Ujian Scheffe’s

Kumpulan tinggi ---Kumpuan sederhana 0.01* --Kumpulan rendah 0.00* 0.02* 0.00*

Kumpulan tinggi Kumpulan sederhana Kumpulan rendah

PERBINCANGAN



Dapatan kajian mendapati tahap motivasi pelajar-pelajar terhadap kemahiran mendengar bahasa Arab berada pada tahap tinggi (min keseluruhan=3.74). Ini menunjukkan pelajar-pelajar mempunyai motivasi yang tinggi untuk menguasai kemahiran mendengar bahasa Arab. Dapatan kajian ini didapati selaras dengan dapatan kajian Dahab (1999) yang mana beliau mendapati motivasi pelajar-pelajar terhadap mata pelajaran bahasa Arab adalah tinggi. Demikian juga dapatan kajian ini didapati menepati dapatan kajian Misnan (1999) yang mana beliau mendapati motivasi pelajar-pelajar terhadap mata pelajaran bahasa Arab berada pada tahap yang tinggi.

Demikian juga dapatan kajian ini didapati selaras dengan dapatan kajian Armstrong dan Rentz (2002), iaitu hubungan antara motivasi dengan pencapaian pelajar-pelajar. Mereka yang menjalankan penyelidikan tindakan terhadap pelajar-pelajar di Midwestern, Illinois mendapati motivasi mereka tidak memuaskan dan pencapaian mereka juga tidak memuaskan. Setelah diberi motivasi, didapati motivasi mereka tinggi dan pencapaian mereka pun bertambah baik. Ini menunjukkan ada sumbangan motivasi yang tinggi tehadap pencapaian.

Dapatan kajian juga mendapati pelajar-pelajar merasa seronok bila mereka dapat mendengar dan memahami dengan baik pengajaran guru dalam bahasa Arab. Dapatan item 6 menunjukkan seramai 94.6% responden pelajar menyatakan mereka setuju bahawa mereka rasa seronok jika dapat mendengar dan memahami dengan baik pengajaran guru dalam bahasa Arab. Begitu juga, pelajar-pelajar merasa ketinggalan bila mereka tidak dapat menjawab soalan kefahaman guru secara lisan. Dapatan item 12 menunjukkan seramai 80.3% responden pelajar yang menyatakan bahawa mereka rasa ketinggalan jika mereka tidak dapat menjawab soalan kefahaman guru secara lisan. Ini menunjukkan motivasi pelajar-pelajar semasa berinteraksi dengan penyampaian guru bahasa Arab. Mereka mendengar dengan sepenuh motivasi terhadap penyampaian guru dalam bahasa Arab, jika mereka faham, mereka rasa seronok, dan sebaliknya, jika mereka tidak dapat menjawab soalan, mereka rasa ketinggalan.

Dapatan kajian juga menunjukkan pelajar-pelajar akan bertanya guru dan rakan-rakan bila mereka mendengar perkataan yang mereka tidak fahami. Dapatan item 4 menunjukkan seramai 82.4% responden pelajar yang menyatakan setuju bahawa mereka terdengar perkataan yang tidak difahami, mereka akan bertanya kepada guru. Dapatan item 5 menunjukkan seramai 82.6% responden pelajar yang menyatakan setuju bahawa mereka terdengar perkataan yang tidak difahami mereka akan bertanya kepada rakan-rakan. Ini menunjukkan bahawa pelajar-pelajar mempunyai motivasi untuk memahami perkataan-perkataan yang mereka tidak faham. Menurut kajian Barr et al. (2002) pelajar-pelajar yang mempunyai motivasi dalam kemahiran mendengar tahu apa peranan yang perlu mereka lakukan sebagai seorang pendengar yang baik. Antara peranan sebagai pendengar yang baik ialah; (1) membuat pemantauan-kendiri, iaitu pelajar-pelajar memantau diri mereka dengan memberi penumpuan sepenuhnya kepada penyampai maklumat atau guru, dan mereka memantau diri minda mereka agar tidak terfikir hal-hal lain; (2) merumuskan penjelasan, iaitu pelajar-pelajar dapat merumuskan kefahaman terhadap penerangan yang disampaikan oleh guru mereka; (3) mengadaptasikan kemahiran berfikir yang tinggi, iaitu pelajar-pelajar menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi termasuk analisis, sintesis, dan penilaian; dan (4) mengadaptasikan kemahiran mendengar sebagai salah satu saluran pembelajaran.

Dapatan kajian juga mendapati bahawa wujudnya hubungan antara motivasi terhadap kemahiran mendengar bahasa Arab dengan pencapaian kemahiran mendengar bahasa Arab (r = 0.613). Ini menunjukkan pencapaian pelajar-pelajar dalam kemahiran mendengar bahasa Arab sedikit sebanyak dipengaruhi oleh motivasi pelajar-pelajar terhadap kemahiran mendengar bahasa Arab. Sekaligus ini menunjukkan pelajar-pelajar yang mempunyai motivasi yang tinggi terhadap kemahiran mendengar bahasa Arab juga mendapat pencapaian yang tinggi dalam kemahiran mendengar bahasa Arab. Dapatan ujian korelasi ini diperkukuhkan lagi oleh dapatan ujian anova yang menunjukkan perbezaan antara tiga kumpulan motivasi tinggi, sederhana dan rendah.

Mengikut Lightbown dan Spada (1999) motivasi yang tinggi biasanya lahir dari dalam diri pelajar bahasa kedua yang dipelajari, iaitu mereka belajar bahasa Arab atas kemahuannya sendiri. Justeru secara tidak langsung, dapatan ini menunjukkan pelajar-pelajar mempelajari bahasa Arab bukan kerana tekanan luar. Sekaligus dapatan ini tidak selari dengan dapatan yang mendapati terdapat pelajar yang belajar bahasa Arab atas kemahuan ibu bapa, bukannya atas kemahuannya sendiri (Nik Mohd Rahimi 2000). Mengikut Gadner dan Lambert (1972) jika seseorang pelajar itu mempelajari bahasa kedua dengan tekanan luar, maka motivasi pelajar itu akan menjadi rendah.

IMPLIKASI KAJIAN

Berdasarkan dapatan kajian, motivasi pelajar-pelajar terhadap kemahiran mendengar bahasa Arab adalah tinggi. Walaupun begitu, motivasi dalaman ini perlu diberi sokongan dari semasa ke semasa demi memastikan ianya sentiasa pada tahap tinggi ini. Dengan itu, pencapaian pelajar-pelajar dalam kemahiran mendengar bahasa Arab dapat ditingkatkan lagi. Ini adalah berdasarkan kajian yang menunjukkan wujudnya hubungan antara motivasi pelajar-pelajar terhadap kemahiran mendengar Arab dengan pencapaian mereka. Mengikut Skehan (1989), banyak kajian yang menunjukkan hubungan antara motivasi dengan pencapaian, tetapi persoalan yang perlu dijawab lagi ialah yang mana satu pemboleh ubah itu mendahului pemboleh ubah yang satu lagi; adakah pelajar-pelajar yang mempunyai motivasi tinggi akan mendapat pencapaian yang tinggi atau adakah pencapaian yang tinggi menjadikan motivasi pelajar-pelajar tinggi?

Dalam pada itu, pihak-pihak yang berkenaan perlu mengambil langkahlangkah yang membina agar pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab tidak dipinggirkan dalam arus globalisasi masa kini yang memartabatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Guru bahasa Arab harus memainkan peranan mereka dengan cara memupuk diri pelajar agar lebih berminat mempelajari bahasa Arab, khususnya menerusi kemahiran mendengar bahasa Arab. Guru-guru hendaklah membimbing pelajar-pelajar supaya bertanggungjawab dan mengambil daya inisiatif mempelajari kemahiran mendengar bahasa Arab dengan belajar sendiri tanpa guru secara perbincangan bersama rakan-rakan dan menggunakan sumber-sumber pembelajaran yang lain.

Di samping itu, pelajar harus memanfaatkan sepenuhnya kelas-kelas bahasa Arab yang dijalankan dengan cara mengambil bahagian, memberi pendapat dan bertanya soalan dengan menggunakan bahasa Arab sekadar yang mampu. Usaha yang berterusan oleh pelajar seperti membuat kerja rumah yang diberi oleh guru dan membuat ulang kaji tambahan akan dapat meningkatkan keyakinan pelajar mencapai pencapaian lebih baik dalam kemahiran mendengar bahasa Arab. Para pelajar juga harus melibatkan diri dalam Persatuan Bahasa Arab. Kebiasaannya program-program berbentuk pertandingan syarahan, kuiz, menulis esei dan sebagainya dianjurkan oleh Panitia Bahasa Arab.

Pentadbir sekolah juga boleh memainkan peranan dengan memastikan kemahiran mendengar bahasa Arab tidak hanya dipelajari di dalam kelas sahaja. Malahan pihak pentadbir dan para guru bahasa Arab boleh berganding bahu dengan menganjur hari bahasa Arab yang mana guru bahasa Arab mengaplikasikan penggunaan bahasa Arab dalam perbualan. Situasi ini dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk menguasai bahasa Arab. Metodologi dan pendekatan pengajaran yang menarik harus difikirkan oleh guru bagi meningkatkan motivasi pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab dalam kalangan pelajar yang berpencapaian rendah. Pelajar lemah digalakkan menghadiri kelas tambahan dan aktiviti pemulihan dan pengayaan harus dilakukan.

KESIMPULAN

Berdasarkan dapatan dan perbincangan hasil kajian dapat dibuat suatu rumusan bahawa motivasi yang tinggi dalam pembelajaran kemahiran mendengar bahasa Arab sebagai bahasa kedua mempunyai hubungan yang signifikan dengan pencapaian pelajar. Kajian-kajian lepas yang berkaitan menunjukkan bahawa motivasi pelajar merupakan salah satu pemboleh ubah yang dapat mempengaruhi tahap pencapaian pelajar, kerana motivasi dapat mempengaruhi apa, mana dan bagaimana kita belajar. Motivasi bukan sahaja mempengaruhi hasil tetapi apa yang dilakukan dan dipelajari juga mempengaruhi motivasi selanjutnya.

RUJUKAN

Abdul Rashid Ali. 1995. Kefahaman mendengar pelajar-pelajar tingkatan satu di tiga buah sekolah menengah di Wilayah Persekutuan. Tesis Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Armstrong, S. & Rentz, T. 2002. Improving listening skills and motivation. Research Project. Saint Xavier University, Chicago, Illinois.

Barr, L., Dittmar, M., Roberts, E. & Sheraden, M. 2002. Enhancing student achievement through the improvement of listening skills. Research Project. Saint Xavier Univer-sity, Chicago, Illinois.

Burley-Allen, M. 1995. Listening: The forgotten skill, a self-teaching guide. New York: John Wiley & Sons Inc.

Dahab, Mohamed Ibrahim. 1997. Evaluation of the Arabic language integrated curriculum for secondary schools (KBSM). Tesis Dr. Fal. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Ee Ah Meng. 1997. Psikologi pendidikan II. Shah Alam: Fajar Bakti.

Fadzilla Mustaffa Johari, Parilah Mohd Shah & Fauziah Ahmad. 2007. Sikap dan motivasi pelajar-pelajar tingkatan satu dalam mempelajari Bahasa Inggeris sebagai kedua (L2): Satu Kajian Kes di Negeri Sembilan. Seminar Kebangsaan Isu-Isu Pendidikan Negara Ketiga.Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 13-14 Februari.

Gadner, R. C. 1985. Social psychology and second language learning: The role of attitude and motivation. London: Edward Arnold.

Gadner, R. C. & Lambert, W. E., 1972. Attitude and motivation in second language learning. London: Newbury House.

Lightbown, P. M. & Spada, N. 1999. How languages are learned. Oxford: Oxford University Press.

Hunsaker, R. 1990. Understanding and developing the skills of communiaction: Speaking and listening. Colorado: Morton Publishing Company.

Hyslop, N. & Tone, B. 1988. Listening: Are we teaching it, and if so, how. ERIC Digest 3 (atas talian) http://ed.gov/database/ERIC Digest3/ed295132.html (5 Mac 2001).

Kamarudin Hj. Husin. 1986. Kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa. Subang Jaya: Sarjana.

Lundsteen, S. W. 2001. Listening: Its impact at all levels on reading and the other language arts. 2nd Ed. Illinois: National Council of Teachers of English.

Maimun Aqsha Lubis & Jamaliah Rani. 2007. Strategi pembelajaran akses kendiri Bahasa Arab Tinggi dan hubungannya dengan pencapaian: Satu kajian tinjauan. Seminar Kebangsaan Isu-Isu Pendidikan Negara Ke-3. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 13-14 Februari.

Martel, M. 1984. Before you say a word: The executive guide to effective communication. New Jersey: Englewood Cliffs, Prentice Hall Inc.

Misnan Jemali. 1999. Hubungan antara gaya pembelajaran dengan pencapaian Bahasa Arab Komunikasi sekolah menengah rendah di negeri Perak. Tesis Sarjana Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Mohamed Fazdil Che Din. 2001. Kajian tinjauan kemahiran mendengar di kalangan pelajar sekolah-sekolah menengah Selangor. VirTEC Journal 1: 23-32.

Murray, E. J. 1964. Motivation and emotion. New Jersey: Prentice-Hall, Inc.

Nik Mohd. Rahimi. 2000. Tahap kemahiran bertutur Bahasa Arab antara jantina, latar belakang keluarga, tahap minat dan pencapaian dalam peperiksaan PMR. Jurnal Pendidikan 24: 141-154.

Nik Mohd Rahimi. 2003. Pengajaran kemahiran mendengar Bahasa Arab: Antara tradisi dan inovasi. Prosiding Wacana Pendidikan Islam (siri 3), hlm. 200-213.

Nik Mohd Rahimi. 2005. Penilaian kemahiran mendengar dalam Kurikulum Bahasa Arab Komunikasi. Tesis Dok. Fal. Fakulti Pendidikan, Bangi UKM.

Nunan, D. 1999. Second language: Teaching and learning. Boston: Heinle & Heinle Publishers.

Skehan, P. 1998. A cognitive approach to language learning. Oxford: Oxford Universty Press.

Siti Meriam Ismail & Zanaton Iksan. 2002. Persepsi pelajar aliran sains di Sekolah Agama JAIS terhadap pembelajaran dwi kurikulum: Satu Tinjauan di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin. Prosiding Wacana Pendidikan Islam (SIRI 1), hlm,

214. Wan Izzuddin Wan Sulaiman & Wan Hasni Wan Sulaiman.1991. Strategi belajar yang berkesan. Kuala Lumpur: Sabha-DTP Services. Weiten, W. & Lloyd, M. A. 1994. Psychology applied to modern life. 4th Edition. Califor-nia: Brooks/Cole Publishing Com.

Wolff, F. I., Marsnik, N. C., Tacey, W. S. & Nichols, R. G. 1983. Perceptive listening. New York: CBS College Publishing.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi: Nik Mohd. Rahimi Nik Yusoff Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia 43600 Bangi Selangor Darul Ehsan

No comments: