Web Menarik

Thursday, November 10, 2011

A LINGUISTIC ANALYSIS AND EVALUATION OF ARABIC TEXTBOOK MATERIALS AND METHODOLOGY

ANALISIS TESIS DOKTOR FALSAFAH (PhD)

By;

Mohammad Shiham Mahfuz

TAJUK:
ANALISIS LINGUISTIK DAN PENILAIAN TERHADAP BUKU TEKS BAHASA ARAB.

(A LINGUISTIC ANALYSIS AND EVALUATION OF ARABIC TEXTBOOK MATERIALS AND METHODOLOGY).

PENULIS TESIS:

Amayreh, Mohammad Ahmad (1984)

Universiti Indiana




Kandungan:



1.0 Pengenalan

2.0 Pernyataan masalah

3.0 Tujuan kajian

4.0 Objektif kajian

5.0 Persoalan kajian

6.0 Kerangka teoritikal kajian

7.0 Kerangka konseptual kajian

8.0 Rekabentuk kajian

9.0 Populasi, sampel dan teknik persampelan

10.0 Instrumen kajian

11.0 Dapatan dan implikasi kajian





















1.0 PENGENALAN



Analisis tesis ini dibuat untuk memenuhi keperluan Sarjana bagi salah satu subjek wajib yang diambil oleh pengkaji. Setelah membaca keseluruhan kandungan tesis pengkaji mendapati format penulisan yang digunakan penulis tesis amat berbeza daripada format penulisan yang digunakan oleh UKM. Justeru itu pengkaji mengalami kesulitan untuk mengenalpasti maklumat-maklumat penting kajian seperti masalah kajian, tujuan kajian, objektif kajian, persoalan kajian, kerangka teoritikal, kerangka konseptual, rekabentuk kajian, populasi, sampel dan teknik persampelan yang digunakan. Walau bagaimanapun dengan bantuan rakan sarjana dan perbincangan bersama pensyarah, akhirnya pengkaji dapat mengenalpasti maklumat-maklumat tersebut. Seterusnya pengkaji akan menghuraikan secara ringkas setiap maklumat yang diperolehi berdasarkan pemahaman pengkaji.



2.0 PERNYATAAN MASALAH



Bahasa Arab merupakan bahasa ibunda (‘native language’) dan bahasa rasmi kepada lebih 200 juta penduduk dunia. Ia juga adalah bahasa pendidikan di negara-negara Arab pada semua tahap termasuklah pada tahap pendidikan tinggi. Selain itu bahasa Arab juga merupakan bahasa keagamaan yang digunakan oleh seluruh dunia Islam. Malahan, pada tahun 1973 bahasa Arab telah diterima sebagai salah satu bahasa ‘United Nations’. Disebalik kepentingan bahasa Arab tidak banyak terdapat dipasaran, buku-buku teks yang berkualiti yang ditulis khusus untuk mengajar bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab (‘non-native speakers’). Kebanyakan buku bahasa Arab yang ada dipasaran tidak ditulis dengan baik untuk tujuan mempelajari bahasa tersebut.

Banyak komplen mengatakan buku-buku tersebut sukar difahami dan tidak mengajar bahasa, sebaliknya mengajar tentang bahasa Arab. Keadaan ini terjadi disebabkan buku-buku teks tersebut ditulis tanpa mengambil kira matlamat pembaca iaitu untuk mempelajari bahasa Arab. Justeru itu kajian berkaitan bahasa Arab dan penghasilan buku teks yang bagus untuk mempelajari bahasa ini perlu dilakukan. Selain itu kajian linguistik bahasa Arab juga amat diperlukan bagi membantu bukan penutur bahasa Arab mempelajari bahasa ini dengan baik dan berkesan.



3.0 TUJUAN KAJIAN



Justeru itu tujuan kajian ini ialah untuk menganalisis buku teks yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab.



4.0 OBJEKTIF KAJIAN



Seterusnya pengkaji mengenalpasti objektif kajian seperti berikut:

1) Untuk meninjau hubungkait diantara bahasa Arab dengan bahasa–bahasa lain serta kepentingan bahasa Arab dalam dunia moden.

2) Untuk menganalisis sistem penulisan bahasa Arab yang terdapat dalam buku teks yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab.

3) Untuk menganalisis perbendaharaan kata (‘vocabolary’) yang terdapat dalam buku teks yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab.

4) Untuk memahami struktur tatabahasa (‘grammar’) yang terdapat dalam buku teks yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab.

5) Untuk memahami kaedah-kaedah pengajaran yang terdapat dalam buku teks yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab.





5.0 PERSOALAN KAJIAN



Selanjutnya, berdasarkan objektif kajian yang telah dikenalpasti pengkaji menyenaraikan soalan-soalan kajian berikut:



Perhubungan bahasa Arab dengan bahasa-bahasa lain:

Soalan kajian 1: Bagaimanakah hubungkait bahasa Arab dengan bahasa-bahasa lain serta kepentingannya dalam dunia moden?

Huraian: Persoalan kajian ini dihurai dengan panjang lebar oleh penulis di dalam Bab 1: Bahasa Arab dan hubungannya dengan bahasa-bahasa lain.



Sistem penulisan bahasa Arab (terbahagi kepada dua iaitu huruf dan penulisan):

Soalan kajian 2: Bagaimana buku-buku teks bahasa Arab memperkenalkan huruf (‘alphabet’) yang digunakan dalam penulisan bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab?

Soalan kajian 3: Bagaimana buku-buku teks bahasa Arab dapat meningkatkan dan mengukuhkan kebolehan pelajar yang terdiri daripada bukan penutur asal bahasa Arab untuk meniru bentuk penulisan bahasa Arab?

Huraian: Penjelasan kepada soalan-soalan kajian ini terdapat di dalam Bab 2: Analisa tentang sistem penulisan Bahasa Arab yang digunakan di dalam pelbagai buku teks.



Perbendaharaan kata (‘vocabolary’):

Soalan kajian 4: Bagaimana menentukan perbendaharaan kata yang terdapat dalam buku teks bahasa Arab yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab?

Huraian: Penjelasan dan huraian kepada persoalan kajian ini terdapat di dalam Bab 3: Analisis perbendaharaan kata yang terdapat dalam buku-buku teks bahasa Arab terpilih untuk pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab.



Struktur tatabahasa (‘grammara’):

Soalan kajian 5: Bagaimanakah tatabahasa yang terdapat dalam buku teks bahasa Arab diajar kepada bukan penutur asal bahasa Arab?

Huraian: Penjelasan kepada soalan kajian ini terdapat dalam Bab 4: Analisis tatabahasa dalam buku-buku teks terpilih.



Kaedah (‘method’) pengajaran:

Soalan kajian 6: Apakah kaedah-kaedah pengajaran yang terdapat dalam buku teks bahasa Arab yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab?

Huraian: Penjelasan kepada soalan kajian ini terdapat dalam Bab 5: Ciri-ciri berguna sesebuah buku teks.



6.0 KERANGKA TEORITIKAL KAJIAN (teori yang mendasari tesis)



Berdasarkan kefahaman pengkaji setelah membaca tesis ini tiada teori khusus yang digunakan untuk mendasari kajian. Ini mungkin disebabkan kajian adalah untuk menganalisis linguistik dan seterusnya membuat penilaian terhadap buku teks. Justeru itu tiada teori yang perlu dirujuk untuk menjelaskan linguistik yang terdapat dalam buku-buku teks yang dikaji. Ia berbeza sekiranya kajian adalah untuk menerangkan suatu fenomena dan tingkah laku manusia. Dalam hal ini setiap pengkaji mesti merujuk kepada teori-teori yang sedia ada untuk digunakan dalam menjelaskan dapatan kepada fenomena yang dikaji.

Selanjutnya penilaian yang dibuat adalah semata-mata berdasarkan perbandingan terhadap buku-buku teks terpilih. Rumusan yang dikemukakan adalah penilaian ilmiah yang dibuat oleh penulis tesis itu sendiri dari perspektif beliau, berdasarkan data-data yang telah dikumpul. Walau bagaimanapun terdapat cubaan oleh penulis tesis untuk mengaitkan gaya penulisan sebahagian penulis buku teks dengan teori perlakuan (‘behaviorist’). Namun, penulis tesis tidak menghuraikan dengan lebih lanjut teori behavioris yang dinyatakan.



7.0 KERANGKA KONSEPTUAL KAJIAN



Tujuan utama kajian ialah untuk menganalisis buku teks yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab. Sehubungan itu penulis tesis meninjau kepentingan bahasa Arab dalam dunia moden serta menganalisa buku-buku teks yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab untuk memahami dengan mendalam masalah yang wujud sehingga menjadikan pembelajaran bahasa Arab sebagai suatu yang sangat sukar terutamanya kepada pelajar yang terdiri daripada bukan penutur asal bahasa Arab. Diakhir kajian penulis juga mencadangkan beberapa cara untuk memperbaiki kualiti penulisan buku teks yang digunakan.



8.0 REKABENTUK KAJIAN



Rekabentuk kajian adalah kajian kualitatif dan kaedah mengutip data yang digunakan ialah melalui analisis dokumen. Dalam kajian ini dokumen yang digunakan terdiri daripada buku-buku teks bahasa Arab terpilih mengikut beberapa kriteria yang telah ditetapkan oleh penulis tesis.









9.0 POPULASI, SAMPEL DAN TEKNIK PERSAMPELAN



Oleh kerana rekabentuk kajian yang digunakan ialah kajian kualitatif, maka tiada populasi kajian yang disasarkan. Ini bermakna dapatan kajian ini tidak bertujuan untuk membuat generalisasi ke atas populasi tertentu.

Manakala subjek atau sampel kajian adalah buku-buku teks bahasa Arab terpilih yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab. Justeru itu kaedah persampelan yang digunakan ialah persampelan bertujuan. Ini bermakna sampel iaitu buku-buku teks yang digunakan dalam analisis ini telah ditentukan kriterianya terlebih dahulu oleh penulis tesis sejajar dengan tujuan kajian. Terdapat empat kriteria yang telah ditetapkan oleh penulis dalam memilih subjek kajian seperti yang dihuraikan dalam bahagian pengenalan (mukasurat i-ii).



10.0 INSTRUMEN KAJIAN



Oleh kerana rekabentuk kajian adalah kualitatif maka penyelidik (penulis tesis) itu sendiri adalah instrumen kepada kajian ini kerana penyelidik yang menginterpretasikan data yang dikutip dari perspektif penyelidik. Oleh itu interpretasi penyelidik lain ke atas data yang sama boleh berbeza mengikut perspektif masing-masing.



11.0 DAPATAN DAN IMPLIKASI KAJIAN



Dapatan kajian:

Soalan kajian 1: Bagaimanakah hubungkait bahasa Arab dengan bahasa-bahasa lain serta kepentingannya dalam dunia moden?

Bahasa Arab berkembang ke seluruh dunia selari dengan perkembangan agama Islam akibat penaklukan yang dilakukan oleh tentera-tentera Islam suatu ketika dahulu. Selari dengan pelebaran empayar Islam, bahasa Arab menjadi bahasa yang dominan dan menggantikan bahasa asal yang dipertuturkan oleh rakyat tempatan. Contohnya di Syria, Iraq dan Egypt. Bahasa ibunda mereka telah lenyap selepas empayar Islam berkembang ke negara-negara tersebut. Tambahan pula bahasa Arab adalah bahasa al-Quran yang digunakan dalam kehidupan seharian seperti sembahyang dan bacaan doa. Seterusnya bahasa Arab menjadi ‘lingua franca’ di sub-Saharan Afrika, Ethiopia dan menjadi bahasa rasmi di Eritrea.

Selain melalui penaklukan, bahasa Arab juga dituturkan oleh penduduk Arab yang berhijrah ke luar negara Arab seperti yang terdapat di timur Afrika dan Asia. Di Asia terdapat penutur bahasa Arab minoriti seperti di Iran, Turki, Afghanistan dan USSR. Selanjutnya, bahasa Arab juga banyak dipinjam atau berasimilasi dengan bahasa-bahasa tempatan yang didiami oleh penduduk minoriti Arab atau melalui hubungan politik.

Dalam era moden, bahasa Arab diajar di institusi pendidikan Islam yang terdapat di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, terdapat kekurangan buku-buku teks yang berkualiti untuk tujuan pengajaran bahasa Arab terutamanya kepada bukan penutur asal bahasa Arab. Buku-buku teks yang ada sama ada sangat kompleks atau ditulis bukan dengan tujuan untuk pengajaran bahasa Arab.



Soalan kajian 2: Bagaimana buku-buku teks bahasa Arab memperkenalkan huruf (‘alphabet’) yang digunakan dalam penulisan bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab?

Untuk membolehkan pelajar menulis dalam bahasa asing, pelajar perlu dilatih secara sistematik melalui lima peringkat perkembangan yang berikut: meniru (‘copying’), menulis semula (‘reproduction’), menggabung jalin (‘recombination’), penulisan berbantu (‘guided writing’) dan mengarang (‘composition’). Ini adalah lima langkah asas dalam pengajaran penulisan kepada bukan penutur asal bahasa tersebut.

Seterusnya kebanyakan buku teks untuk pengajaran dialek bahasa Arab menggunakan huruf latin manakala buku teks untuk pengajaran bahasa Arab standad menggunakan huruf Arab. Ini disebabkan buku teks bahasa Arab dialek hanya untuk tujuan tertentu, manakala buku teks bahasa Arab standad lebih luas penggunaannya dalam budaya Arab.

Berikutnya, penulisan huruf Arab telah diperkenalkan kepada pelajar melalui beberapa kaedah. Kaedah pertama ialah dengan menggunakan carta yang menyenaraikan huruf-huruf Arab yang berbeza bentuk bergantung kepada kedudukannya dalam perkataan. Seterusnya, bunyi untuk setiap huruf Arab diperkenalkan melalui beberapa kaedah seperti ‘sentence-word-letter’, diikuti oleh ‘word-letter-method’. Ada juga penulis buku teks menggunakan kaedah ‘phonic’ dan ‘phonology’ dalam memperkenalkan penulisan huruf Arab kepada pelajar.



Soalan kajian 3: Bagaimana buku-buku teks bahasa Arab dapat meningkatkan dan mengukuhkan kebolehan pelajar yang terdiri daripada bukan penutur asal bahasa Arab untuk meniru bentuk penulisan bahasa Arab?

Terdapat berbagai cara yang digunakan oleh penulis buku teks yang berbeza dalam mengukuhkan kebolehan pelajar meniru bentuk penulisan bahasa Arab. Antaranya mengajar gaya penulisan Quran oleh Mahmoud Seiny. Beliau memperkenalkan huruf Arab yang diperkenalkan dalam kumpulan bertiga dan diterjemah ke dalam huruf Inggeris: q z y/ a f n/ r b t dan seterusnya.

Seterusnya manual praktikal membaca Quran oleh Yacoub Szynkiewicz yang ditulis dengan tangan. Yacoub memperkenalkan vowel alif, b, t dan th sebagai satu kumpulan. Diikuti oleh huruf d, dh, r dan z secara bersama; dan h; kh dan j; s dan d. Seterusnya I; n; k; f; q dan y secara bersendirian.

Berikutnya ramai penulis buku teks memperkenalkan sistem penulisan bahasa Arab secara umum dan klasik. Keseluruhannya penulis tesis merujuk kepada 12 buah buku teks yang memeperkenalkan penulisan bahasa Arab kepada pelajar. Namun tiada satu pun buku teks yang paling sesuai digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab.



Soalan kajian 4: Bagaimana menentukan perbendaharaan kata yang terdapat dalam buku teks bahasa Arab yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab?

Perbendaharaan kata atau senarai perkataan Arab dalam buku teks bahasa Arab ditentukan melalui beberapa kaedah. Antaranya Jacob Landau merujuk kepada 60 buah buku teks moden untuk menentukan bilangan perkataan bahasa Arab. Dia mengira jumlah perkataan yang terdapat dalam 5 muka surat pertama dalam 10 buah buku, dan jumlah perkataan yang terdapat dalam 5 muka surat terakhir dalam 50 buah buku yang lain. Hasilnya, jumlah perbendaharaan kata yang terdapat dalam buku-buku teks bahasa Arab tersebut ialah 136 000 patah perkataan.

Manakala Daud Abdu pula menyenaraikan sebanyak 250 000 patah perkataan Arab. Sumber yang digunakan ialah 6 isu surat khabar Jordan yang diterbitkan dari tahun 1955-1957 dan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pelajar sekolah gred 1 hingga gred 8 di Jordan.

Berdasarkan rujukan yang dilakukan ke atas laporan-laporan kajian yang lalu, penulis tesis percaya jumlah atau senarai perkataan bahasa Arab yang ada ketika ini adalah sangat banyak iaitu antara 35 000 hingga 700 000 patah perkataan. Kebanyakan sumber rujukan untuk menentukan jumlah patah perkataan bahasa Arab ialah buku-buku teks peringkat sekolah menengah yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada penutur asal bahasa Arab dan kepada bukan penutur asal bahasa Arab. Penulis tesis merumuskan kajian lanjut perlu dilakukan segera untuk menentukan jumlah terkini perbendaharaan kata bahasa Arab yang membentuk perkataan asas Arab.



Soalan kajian 5: Bagaimanakah tatabahasa yang terdapat dalam buku teks bahasa Arab diajar kepada bukan penutur asal bahasa Arab?

Bagi kebanyakan buku teks yang digunakan untuk pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab, penulis-penulis buku cuba memperkenalkan struktur asas bahasa Arab tanpa mengambil kira kaedah yang digunakan. Sebagai contoh Al-Hadidi membahagikan pengajaran tatabahasa kepada empat aras. Setiap aras dihuraikan dengan jelas agar mudah diikuti oleh pelajar yang terdiri daripada bukan penutur asal bahasa Arab. Manakala sekumpulan pakar bahasa Arab dari Universiti Jordan telah menggubal silibus pengajaran bahasa Arab kepada tiga aras berbeza. Untuk setiap aras, objektif umum dan objektif khusus dinyatakan. Manakala dalam pengajaran tatabahasa, pakar memilih ‘Arabic sentence system’ sebagai objektif utama.

Penulis tesis menganalisa banyak lagi buku teks yang ditulis untuk mengajar tatabahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab. Rumusannya setiap penulis buku mempunyai peraturan dan cara tersendiri memperkenalkan tatabahasa Arab kepada pelajar asing. Terpulang kepada pelajar untuk memilih buku yang sesuai sebagai rujukan.



Soalan kajian 6: Apakah kaedah-kaedah pengajaran yang terdapat dalam buku teks bahasa Arab yang digunakan dalam pengajaran bahasa Arab kepada bukan penutur asal bahasa Arab?

Penulis tesis merumuskan tiada satu pun kaedah pengajaran bahasa yang paling sesuai untuk digunakan bagi mengajar semua bahasa asing. Justeru itu pelajar perlu membuat pemilihan seperti pemilihan perbendaharaan kata, tatabahasa, budaya dan digabungkan dengan daya ingatan manusia bagi mempelajari bahasa asing dengan berkesan.

Oleh kerana bahasa Arab adalah bahasa yang sukar untuk dipelajarai, buku teks dan bahan pengajaran terbaik sepatutnya dibekalkan kepada pelajar. Namun kebanyakan buku teks yang ada adalah untuk pengajaran sistem penulisan Arab, bukan untuk mempelajari bahasa Arab secara menyeluruh. Sebahagian buku teks pula ditulis untuk mengajar bahasa Arab yang mudah, tanpa ada buku susulan pada peringkat lebih tinggi. Manakala sebahagian kecil buku teks pula adalah untuk pengajaran bahasa pada peringkat kemahiran aras tinggi yang sangat tidak sesuai digunakan oleh pelajar baru. Ini menjadikan buku-buku teks itu kurang berguna dalam membantu pelajar dalam kalangan bukan penutur asal bahasa Arab.

Ramai pengkaji menekankan penggunaan alat pandang dengar dalam mempelajari bahasa asing. Bagi buku teks, penggunaan ilustrasi atau gambar amat digalakkan. Disamping itu ‘tape recorder’ juga perlu sebagai alat bantu mengajar yang berkesan dalam pengajaran bahasa asing. Penulis buku teks juga perlu memasukan ‘panduan guru’, khusus untuk kegunaan guru semasa pengajaran bahasa. Selain itu, soalan-soalan latihan, permainan, kuiz, jadual kandungan, carta atau rajah juga diperlukan untuk mengukuhkan kefahaman pelajar.







Implikasi kajian:

1. Selari dengan perkembangan penduduk Islam dan penggunaan bahasa Arab di negara-negara Islam, bahasa Arab dijadikan bahasa pengantar atau bahasa rasmi di negara-negara tersebut. Oleh itu wujud keperluan yang tinggi untuk melatih lebih ramai tenaga mahir, guru dan pakar bahasa yang dapat mengajar bahasa Arab kepada penduduk di luar dunia Arab. Seterusnya fakulti bahasa yang mengajar bahasa Arab kepada pelajar asing juga perlu ditambah agar pengajaran bahasa Arab di peringkat tinggi dan global terus berkembang.

2. Dapatan kajian ini juga dapat memberi input kepada penulis-penulis buku teks bahasa Arab agar perlu mempunyai objektif yang jelas sebelum menulis buku teks terutamanya untuk digunakan oleh bukan penutur asal bahasa Arab. Justeru itu diharap buku-buku berkualiti dan kandungan silibus menyeluruh dapat dihasilkan dengan lebih banyak dan bermanfaat kepada mereka yang berminat mempelajari bahasa Arab. Buku-buku teks juga perlu disesuaikan mengikut tahap perkembangan pelajar asing daripada tahap asas, sederhana dan mahir atau tahap tinggi. Di samping itu pemilihan perbendaharaan kata dan tatabahasa perlu teliti agar buku-buku teks tersebut tidak mengandungi perbendaharaan kata yang tidak mempunyai makna (‘meaningless words’) atau makna yang bukan kebiasaan (‘uncommon words’).

3. Oleh kerana masih terdapat banyak kekeliruan dan percanggahan pendapat dalam kalangan penulis buku teks dan pakar bahasa berkaitan bilangan perkataan asal dan perbendaharaan kata bahasa Arab, maka kajian lanjut dan terperinci perlu dilakukan untuk memantapkan pengajaran linguistik khususnya kepada pelajar bukan penutur asal bahasa Arab. Kajian lanjutan khususnya dalam pendidikan bahasa asing serta umumnya dalam bidang pendidikan bahasa.

4. Selanjutnya, format pengajaran penulisan Arab perlu diselaraskan agar tidak timbul kekeliruan dalam kalangan pelajar asing dan seterusnya menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa yang sukar untuk dipelajari.

5. Pengajaran bahasa telah melangkah jauh ke depan melalui menggunakan teknologi. Implikasinya pengajaran bahasa Arab juga perlu memanfaatkan teknologi yang ada dan bukan semata-mata bergantung kepada buku teks dalam pengajaran bahasa Arab terutamanya kepada pelajar yang terdiri daripada bukan penutur asal bahasa Arab.

6. Buku teks bahasa Arab yang sedia ada amat kurang menitikberatkan penerapan unsur budaya Arab. Penggunaan gambar atau grafik dalam membantu menjelaskan makna sesuatu perkataan juga dapat dijadikan alat yang berkesan untuk menerapkan kebudayaan Arab kepada dunia di luar Arab. Implikasinya gambar-gambar yang ada dalam buku teks bukan hanya untuk tujuan hiasan dan ilustrasi semata-mata. Justeru itu pakar bahasa dengan bantuan pelukis grafik perlu bekerjasama untuk menambah lebih banyak gambar yang mengandungi ‘messege’ tertentu ke dalam buku teks, khususnya buku teks yang akan digunakan dalam pengajaran bahasa kepada bukan penutur asal bahasa Arab.

No comments: