Web Menarik

Thursday, November 10, 2011

Gengsterisme di kalangan remaja sekolah.

Gengsterisme di kalangan remaja sekolah.
Oleh
Mohammad Shiham Mahfuz

Pendahuluan.

Fahaman Gengsterisme adalah salah di sisi islam dan undang-undang Malaysia. Ia merupakan satu fenomena yang dianggap menular di kalangan remaja sekolah dan masyarakat. Ia dilihat bukan sahaja berkemampuan menghalang pencapaian pelajar remaja, malahan boleh mengganggu-gugat perkembangan remaja dalam arus pembangunan negara. Paling menyedihkan kita, jika remaja muslim turut terlibat dalam fahaman ini.

Sekolah yang mempunyai gengsterisme akan terbantut perkembangan akademi pelajarnya, malah akan mendatangkan banyak masalah yang akan timbul dari fenomena ini. Kegiatan ini perlu ditangani kerana gengsterisme boleh mempengaruhi pembabitan pelajar di dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, ponteng kelas, keciciran sekolah, kekerasan, ketagihan alkohol , rogol dan paling membimbangkan kita jika terlibat dengan jenayah pembunuhan

Kajian telah menunjukkan bahawa sebab utama anak-anak remaja memasuki kumpulan samseng pada hari ini adalah untuk mendapatkan wang dengan mudah, mendapatkan dadah perlindungan dan teman wanita. Sesetengah anak-anak remaja dibuli dan dipaksa masuk atau menyertai sesebuah kumpulan atau dinamakan “geng’. Jika mereka penakut, pemalu dan mudah dibuli, rakan-rakannya yang lain mungkin mengugut mereka, “Jika kamu tidak masuk kumpulan kami, kamu tidak akan dikena!i” Tetapi jika kamu bersama-sama kami, kami akan melindungi kamu dan selain daripada itu kami akan menjadikan kamu kaya-raya dan ditakuti!’

Sekiranya kita membuat tinjauan, sejarah awal menunjukkan bahawa gengsterisme ialah penghijrahan masyarakat Cina dan India ke Malaya pada abad ke-18 dianggap sebagai titik permulaan tertubuhnya kumpulan geng di Malaysia. emigran masyarakat Cina terutamanya dari wilayah Kwantung dan Fukian akibat keadaan politik serta pernah menyertai aktiviti penggulingan Dinasti Manchu menyebabkan Malaya turut diresapi aktiviti ini. Mereka yang paling aktif adalah dari kumpulan Ang Bin Hoay yang cuba mendapatkan ahli melalui sistem Kapitan iaitu menyatukan ahli untuk memastikan kepentingan mereka terpelihara. Aktiviti kumpulan-kumpulan ini tidak lagi berpusatkan kepada memelihara kepentingan ahli semata-mata tetapi mula melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan bersifat jenayah seperti mencuri, membunuh dan mengancam keselamatan orang ramai untuk mempertahankan kedudukan mereka sebagai kumpulan berpengaruh.

Dalam kalangan masyarakat India pula, pelabelan istilah geng bermula sejak tahun 1960-an apabila ramai remaja India mula terlibat dengan aktiviti yang menjurus kepada jenayah terutama dengan pengaruh dari kumpulan etnik Cina. Ada kumpulan yang menyamai aktiviti ini seperti mendapatkan wang perlindungan, manakala ada pula yang bergaduh semata-mata kerana isu wanita. Pada tahun 2000,sebanyak 459 daripada 1560 buah sekolah menengah berhadapan dengan pelajar berisiko terlibat dengan gengsterisme.

Setiap kumpulan samseng mempunyai simbol dan ikonnya sendiri. Tidak kira sama ada mereka masih baru atau tidak penting dalam dunia gangsterisme ini, mereka mempunyai logo, tanda atau isyarat mereka sendiri. Jika anak kita mula melambai kepada kawannya dengan cara tertentu, berhati-hatilah. Tetapi jangan pula tersilap sangka kerana kadangkala ia hanyalah sesuatu yang ditiru dari tv astro, internet, video filem, muzik, dan sebagainya.

1 Beberapa Faktor yang boleh dikenalpasti penyebab gengsterisme ialah;-

a) Institusi Kekeluargaan.

Sebenar institusi kekeluargaan memainkan peranan yang amat besar pengaruhnya, samada mengawal anak-anak kearah kehidupan yang baik ataupun yang sebaliknya sepertimana nabi bersabda : وعن أبي هريرة رضي الله عنه، أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال :( كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه أو ينصّرانه أو يمجّسانه ) متفق عليه .

yang bermaksud “setiap anak itu di lahirkan di dalam “fitrah” bermaksud bersih, kedua ibubapalah yang mencorakkan samada jadi yahudi,nasora atau majusi”.

Malah dunia didikan yang terutama anak-anak di samping keluarga. Jesteru itu, tanggungjawab untuk mendidik anak-anak diperingkat awal ialah suatu anugerah oleh Allah, disamping didikan yang diterima di sekolah atau institusi.

Taraf hidup institusi kekeluargaan juga berperanan mengadakan acuan untuk anak-anak, malah sesetengah ibu bapa yang lebih berkecenderungan untuk mengumpul kekayaan dan bekerja di luar rumah menyebabkan remaja ini terabai atau tidak diberi tumpuan sepenuhnya. Manakala ada ibu bapa yang tidak mempunyai pilihan melainkan bekerja untuk menampung kos sara hidup dan mencari nafkah untuk meneruskan kehidupan. Penderitaan ini tidak difahami oleh golongan remaja walaupun mereka sedar namun sukar untuk mendapat bimbingan memandangkan kehidupan keluarga yang mendesak perlu diatasi dengan pengorbanan masa bekerja.

Pendapatan atau nafkah hidup tidak terbatas kepada makanan dan pakaian sahaja malah keperluan harian sering tidak mencukupi dan mengharapkan ahli keluarga lain menampung perbelanjaan kehidupan juga mempengaruhi keadaan anak-anak. Ini berbeza dengan bapa tunggal yang lazimnya dilabel sebagai sukar memberi kasih sayang apatah lagi jika mengabaikan tanggungjawab dan peranan sebagai ketua keluarga. Lantaran itu, remaja ini mencari pilihan lain sebagai tempat untuk mendapatkan perhatian, misalnya di kalangan rakan-rakan.

Kajian menunjukkan pelajar miskin mudah terjebak dalam aktiviti gangster. Lebih 50% kes buli dan gangster melibatkan pelajar miskin.Remaja yang tidak takut untuk bergiat aktif di dalam aktiviti gengsterisme kerana sikap ibu bapa sendiri yang mengabaikan tanggunggjawab mereka ke atas anak-anak Keadaan sosial ini boleh mempengaruhi pendidikan anak-anak dalam keluarga ini. Masalah lebih rumit di kalangan keluarga yang mempunyai bapa atau ibu tunggal yang tidak bekerja. Masalah pendapatan dan nafkah merupakan musuh yang utama dalam institusi kekeluargaan ini yang menyumbangkan ketidakstabilan emosi anak-anak.







b) Pengaruh Rakan-Rakan

Pepatah arab ada menyatakan bahawa “sekiranya kita berkawan dengan penjual minyak wangi maka terpalit juga bauan wangian tersebut.” Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat ke atas kehidupan seseorang. Kelakuan yang buruk dan tidak baik itu akan dipengaruhi oleh rakan yang lain. Oleh itu, kesilapan bergaul dengan rakan-rakan yang salah dan berkelakuan tidak senonoh boleh menyebabkan seseorang remaja terkeluar dari landasan norma-norma kehidupan yang betul. Malahan pengaruh kuat rakan-rakan ini akan menyebabkan sebilangannya diambil menjadi anggota kumpulan geng ini. Mereka akan didedahkan dengan pelbagai teknik buruk dan sebagainya. Aktiviti mereka lebih bersifat memberontak seperti vandalism, mengganggu pengajaran guru, ponteng sekolah, merosakkan harta benda sekolah, ketagihan rokok, dadah dan alkohol. Mereka akan berbai’ah dengan ketua kumpulan. Malah berpegang kepada ideologi kumpulan menyebabkan masing-masing menunjukkan kesetiaan kepada ahli kumpulan dan sering bersama membantu mengatasi sebarang masalah yang melibatkan pergaduhan, kewangan atau mempertahankan kesalahan ahli kumpulan sekiranya kegiatan mereka berjaya dikesan oleh pihak berkuasa.



c) Kekuatan Diri Sendiri

Menurut Atkinson (1990) tingkah laku bermasalah adalah merupakan tingkah laku yang terkeluar daripada kehendak, norma-norma dan nilai sesuatu masyarakat. Sikap remaja sendiri penting untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak di dalam gengsterisme. Mereka yang terlibat di dalam aktiviti ini adalah remaja yang masih tidak mempunyai haluan dan terkapai-kapai mencari jalan kehidupan mereka. Desakan keluarga dan kesempitan hidup boleh mendorong mereka tidak memberi perhatian sepenuhnya ke atas pendidikan mereka dan menganggap keciciran dan ponteng sekolah merupakan amalan yang biasa. Mereka hilang tumpuan kerana sikap inferioriti di kalangan mereka sendiri berbanding dengan pelajar yang rajin dan tekun berusaha. Ketiadaan ‘role model’ yang sesuai juga dianggap faktor pendorong pembabitan mereka di dalam gengsterisme.

d) Kesan Persekitaran

Tempat tinggal yang tidak selesa dengan ahli keluarga yang ramai di rumah yang kecil dan sempit serta pendapatan harian atau bulanan yang kecil boleh menyebabkan remaja ini lebih seronok meluangkan masa di luar rumah. Ini jelas di kawasan perumahan setinggan, rumah pangsa dan flat kos rendah. Ada pula dilabel sebagai ahli sesebuah geng kerana kawasan tempat tinggal mereka yang dianggap aktif dengan jenayah kumpulan gengsterisme. Ada pula yang sengaja menggunakan gelaran kawasan mereka untuk menimbulkan rasa takut di kalangan remaja di sekolah mereka. Ada ketua geng yang memberi kekuatan kepada remaja di kawasan tersebut untuk bergaduh kerana memastikan sokongan mereka serta menterjemahkan kuasa ke dalam bentuk tindakan gengsterisme.



e) Media Massa

Menurut Prof. Dr Fatimah Yusoff, Ketua Program Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM menyatakan bahawa: perkembangan hari ini menunjukkan bahawa media massa memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempengaruhi pergerakan remaja. Aksi, pertuturan dan tingkah laku yang ditayangkan di media elektronik dan media cetak menjadi ikutan sehingga seolah-olah pelakon tersebut menjadi ‘role model’ bagi golongan remaja. Pembentukan personaliti melalui media massa dianggap sukar dibendung kerana walaupun diakui media merupakan alat yang boleh mendidik pendengar dan penontonnya, pada waktu yang sama ia boleh membawa penontonnya ke jalan yang salah terutama di kalangan remaja yang cepat terpengaruh seolah-olah apa yang dilihat itu merupakan satu realiti dalam kehidupan.







f) Sekolah

Sekolah bukan punca yang menyebabkan gengsterisme, tetapi sekolah boleh menjadi tempat pertemuan ketua dan ahli-ahli kumpulan ketika sebelum kelas bermula, masa rehat, masa selepas persekolahan atau ketika pelajar ponteng kelas. Malah dengan ada masa pertemuan mereka, gengsterism ini wujud untuk merancang aktiviti yang kurang sihat. Aktiviti mereka lebih bersifat mencari ahli dan mengukuhkan kumpulan mereka dan membuat kacau di tempat-tempat yang bersesuaian dengan mereka. Dengan kekuatan yang ada gengsterism ini akan bergerak mengikut rancangan yang diatur.



g) Didikan Agama yang sempurna.

Agama merupakan perlindung bagi setiap kemungkaran dan maksiat. Dengan solat misalnya boleh mencegah seseorang itu daripada berlakunya perkara buruk dan mungkar, sepertiman firman Allah bermaksud : “sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan buruk dan mungkar” jesteru itu, kekurangan didikan agama turut mendorong peningkatan aktiviti gensterisme. Secara umumnya, jika didikan agama kukuh di dalam diri individu, maka secara langsung ia boleh menghindar remaja tersebut dari terperangkap di dalam kegiatan gengsterisme. Keluarga yang kurang pendidikan ini juga boleh menyebabkan anak remaja mereka tidak terikat dengan nilai keagamaan serta pembentukan akhlak yang baik lantas terbabas ke dalam kumpulan bergeng ini.



2 Langkah Mengatasi Masalah Gengsterisme

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk membantu mengurangkan masalah gengtserisme, mengesan punca-punca dan seterusnya merawat masalah ini. Antaranya:

a) Pendekatan mentor dalam menangani masalah remaja

Mentor merupakan orang yang terpenting untuk mengenali setiap perubahan yang berlaku kepada mentee. Sekiranya perubahan dan masalah yang berlaku pada peringkat awal dikesan dan dirawat, ia akan mendatangkan banyak faedah kepada mentee. Beberapa cadangan untuk mengatasi masalah tingkah laku pelajar ini adalah seperti berikut:

a. Kenalpasti pelajar yang agresif(destruktif) – adakah program moral

b. Mengelakkan hukuman fizikal.

c. Membimbing pelajar supaya menyalurkan perasaan marah kepada sesuatu yang membina.

d. Memberi peluang kepada pelajar untuk meluahkan perasaan

e. Perbincangan dengan rakan sebaya

f. Sikap ambil tahu dan prihatin terhadap pelajar

g. Ganjaran dan pujian

h. Didikan agama

i. Penglibatan pelajar dalam pembelajaran

j. Kasih sayang



oleh yang demikian,langkah-langkah untuk mengatasi masalah tingkah laku yang disenaraikan di atas boleh diamalkan semasa perjumpaan dengan mentee. Peluang untuk guru mendekati melalui program moral, didikan agama, kasih sayang, memberi kepercayaan dan sebagainya yang dinyatakan di atas boleh menjadi dasar kepada mentor untuk mendekati mentee mereka. Seorang mentor yang berjaya ialah mentor yang berupaya membina hubungan yang akrab dengan menteenya di samping masih dapat mengekalkan kehormatan mentee terhadap mentor. Mentee tidak akan berasa ragu-ragu atau malu untuk membincangkan segala permasalahan dengan mentornya. Mentor akan menjadi orang pertama tempat mentee merujuk sekiranya menghadapi sebarang permasalahan. Oleh itu, mentor harus berusaha untuk mewujudkan suasana mesra serta rasa percaya mentee terhadap mentor. Sekiranya tembok hubungan ini dapat dipecahkan, barulah mudah untuk mentor membimbing mentee termasuk di dalam menangani permasalahan tingkah laku mentee.

Menurut Sofiah Hamid (1993) berdasarkan kajian di Sekolah Menengah Sungai Ara, Pulau Pinang 25.6% pelajar menganggap program ini membantu mentee dalam pembelajaran,22.0% mendidik mereka menjadi pelajar yang baik, 19.5% memberi mentee merasa dihargai dan diberi perhatian manakala 25% menyatakan ianya menolong dan membimbing mentee menyelesaikan masalah peribadi dan pembelajaran. Kita mendapati bahawa sistem mentor merupakan suatu pendekatan yang paling bersifat psikologi selain peranan kaunselor dalam membantu menyelesaikan tingkah laku bermasalah di kalangan pelajar. Namun, kemahiran bimbingan dan kaunseling perlu diberi kepada semua mentor sebelum sistem ini dilaksanakan dan mentor mendekati mentee



b) Peranan Kerajaan

Kerajaan memain peranan penting menangani masalah gengsterisme ini. Penguatkuasaan dan tindakan keras perlu diambil supaya aktivitinya dapat dibendung. Langkah yang radikal boleh diambil oleh kerajaan dengan secara perlahan-lahan mengurangkan penyiaran filem berunsur ganas dan jenayah. Undang-undang yang ketat menerusi tindakan kerajaan akan mampu menyedarkan pelajar bahaya pembabitan di dalam aktiviti gengsterisme. Kesepaduan kementerian-kementerian termasuklah Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat boleh mengubah persepsi ke atas pelajar yang sering dilayan secara negatif kebelakangan ini akibat tindakan atau kelakuan segelintir pelajar berisiko.



c) Peranan Ibu Bapa

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting di dalam konteks pembangunan sahsiah dan proses sosialisasi anak mereka. Walaupun masing-msing sibuk dengan pekerjaan dan kerjaya mereka serta mengejar kekayaan, kepentingan anak juga mesti diberi tumpuan. Ibu bapa mesti belajar mengetahui aktiviti yang dianggotai oleh anak mereka dan pada waktu yang sama, mengenali individu yang menjadi rakan kepada anak remaja mereka. Usaha ini akan membolehkan tempat kunjungan mereka dikenal pasti serta apakah bentuk aktiviti atau kegiatan yang disertai oleh anak mereka. Ibu bapa yang mengambil inisiatif ini wajar mengadakan perbincangan atau diskusi dengan anak-anak mereka bukan setakat mengetahui kecenderungan mereka tetapi juga berbincang mengenai perkembangan remaja semasa supaya anak-anak mempunyai ruang untuk meluangkan pandangan dan pada waktu yang sama memahami pandangan orang tua mereka.

Keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa akan membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih besar iaitu menjalin hubungan dengan pihak sekolah termasuk mengambil berat mengenai perkembangan anak mereka di sekolah melalui komunikasi dengan guru besar, guru kelas, guru disiplin dan warden asrama. Di samping itu, sebagai satu tindak balas resiprokal, sumbangan ibu bapa boleh disalurkan melalui penglibatan di dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) dan terbabit secara aktif di dalam aktivit di antara pelajar sekolah dan ibu bapa. Dengan ini, ibu bapa telah dengan secara langsung menjadi idola kepada anak-anak mereka, terbabit secara langsung di dalam aktiviti bukan sahaja di rumaha tetapi juga di sekolah.



d) Peranan Sekolah



Sekolah mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengatasi kemelut gengsterisme dengan melentur masalah yang timbul dari peringkat awal lagi supaya dapat menyekat dari mempengaruhi pelajar yang lain. Sekolah boleh mengadakan hubungan langsung dengan ibu bapa terutama pelajar yang dikesan bermasalah atau disyaki terlibat dengan kumpulan gengsterisme. Sekolah boleh menganjurkan kem atau program tertentu yang berterusan untuk memerhati atau memantau kegiatan pelajar berisiko ini. Kokurikulum di sekolah juga mampu memainkan peranan besar di dalam mengadun sahsiah seseorang pelajar. Aktiviti persatuan, kelab dan organisasi beruniform perlu sentiasa diperbaharui supaya ia memenuhi citarasa pelajar yang mahu aktif dan mencuba sesuatu yang baru

Sehubungan itu MARA iaitu bahagian pendidikan dan latihan (BPLM) telah melakukan inovasi dalam sistem pendidikan iaitu telah mengadaptasi model pendidikan pintar cerdas. dan pada waktu yang sama mempertahankan pencapaian akademiknya.(gifted) iaitu scholwide Enrichment model (SEM). Sebagai contohnya MRSM BITARA secara ringkasnya menawarkan beberapa perkhidmatan iaitu:

i) Pengayaan jenis 1 iaitu aktiviti bercorak.

ii) Pengayaan jenis 2 iaitu aktiviti yang member kemahiran kepada pelajar

iii) Pengayaan jenis 3 iaitu aktiviti yang memerlukan pelajar membuat penyelidikan sesuatu masalah sebenar (real-problem)

Perkhidmatan ini bertujuan melatih pelajar menghasilkan sesuatu produk secara kreatif dan boleh digunakan oleh kumulan sasaran.

Menurut pendapat Renzulli & Reis, 1997 melalui kelompok pengayaan ini pelajar dapat mempertingkatkan kemahiran berfikir peringkat tinggi (high-order thinking). Oleh itu, pelajar yang mempunyai minat untuk berjaya dan mencetuskan idea-idea baru dapat menyebukkan diri dengan perkara-perkara yang berfaedah.



e) Peranan Masyarakat



Gengsterisme mesti dilihat sebagai masalah bersama diantara sekolah dengan masyarakat dan bukan hanya pemerhatian dari pihak sekolah semata-mata. Masyarakat juga boleh memainkan peranan mereka jika isu ini mahu diatasi sepenuhnya. Badan-badan luar terutama badan sosial atau organisasi beruniform boleh melibatkan diri mereka dengan sepenuhnya sebagai agen luar yang bertanggungjawab. Mereka boleh menjadi pengantara di antara sekolah dan pelajar. Selain dari badan Ngo dan lain badan perlu menganggap bahawa gengsterism ini merupakan musuh number satu negara seperti dadah dan lain-lain. Dengan pelajar akan tercicir dari pelajaran.

f) Peranan Media

Masalah gengsterisme juga boleh diatasi jika media memainkan peranan yang lebih proaktif. Walaupun untuk menghentikan siaran yang ganas dan bersifat jenayah kurang adil untuk industri media massa, media boleh mengurangkan siaran sebegini atau sekurang-kurangnya keprihatinan media ditunjukkan melalui penayangan program yang bersifat pembentukan kepribadian remaja yang unggul. Pembabitan pelajar yang berjaya mesti ditonjolkan supaya mereka menjadi idola kepada pelajar yang lain. Rancangan-rancangan sebegini yang harus diutamakan agar remaja menonton ‘role model’ yang baik yang boleh menjadi ikutan mereka.



Rumusan

Gengsterism merupakan satu corak budaya yang tidak sihat di kalangan remaja. Tindakan dan penguatkuasaan perlu bagi membendung gejala ini menular di kalangan pelajar kita khasnya pelajar islam. Malah dengan adanya pendekatan dan penerapan yang betul dapat menangkis penularan ideologi gengsterism ini di kalanagan pelajar kita. Pendekatan berunsur psikologi dan bimbingan kaunseling yang akan membantu menyerapkan rasa dihargai di kalangan pelajar. Di samping itu, mentor juga akan dapat mengenali punca mengapa tingkah laku bermasalah wujud dalam diri sesetengah mentee mereka. Melalui pendekatan ini, selepas mengetahui punca-punca timbul permasalahan tersebut, mentor harus memainkan peranan sebagai pembimbing kepada mentee.













Rujukan:

Jurnal Syariah, Bahagian Pengajian Syariah ,Akademi Pengajian Islam University Malaya Jilid 8 Bilangan 1 Januari 2000.


Hadith: Sahih Al Bukhari :Dar Al Fikh

Sayyid Sabi (1973)q, Fiqh Al-Sunnah,Beirut : Jilid 2,Cetakan 2Dar Al-Kitab Al Arabi,

Utusan Melaysia,;Pelajar Miskin Lebih Mudah Terjebak Dalam Gangsterism: Tarikh 27/5/2004 Hlm 1

Jurnal Penyelidikan Master In Problem Based Learning (Mpbl), Jilid 5, 2004

Atkinson, R. L., Atkinson, R. C., Hulgard, E. R. (1990). Introduction To Psychology. New York: Harcourt Brace Jovanovich Publishers.

Http://Www.Islam.Gov.My/E-Rujukan/Lihat.Php?Jakim=2079

Sofiah Hamid. (1993). Sistem Mentor Dalam Pengurusan Hal Ehwal Pelajar Berisiko: Tinjauan Awal Di Sekolah Menengah Sungai Ara, Pulau Pinang. Berita Bimbingan dan Kaunseling. Kuala Lumpur:

Jurnal Pendidikan Dan Latihan:Majlis Amanah Rakyat 2010;Jilid 2 Bil 1 Jun m/s 3, ISSN: 1985-9597



Renzulli J.S & Reis .S. (1997). The Schoolwide Enrichment Model: New Direction For Developing Hing-End Leaning. In Colangelo, Ct: Creative Learning Press



Http://Swmsa.Net/Articles.Php?Action=Show&Id=1164



No comments: