Web Menarik

Wednesday, July 18, 2012

Penggunaan Media Sosial Sebagai Medium Perbincangan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Islam


Penggunaan Media Sosial Sebagai Medium Perbincangan   Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Islam
Abdul Jamir  Md Saad
Ab.  Halim  Tamuri
Mohd Alif Nawi
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Mohammad Shiham Mahfuz
Kolej Mara Banting, Selangor


Abstrak

Penggunaan Media sosial dalam pembelajaran adalah konsep yang mengunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam sistem pendidikan. Ia adalah satu perkembangan pendidikan hasil daripada proses ledakan Information and Communication Technologies (ICT) yang merujuk kepada penggunaan teknologi tersebut dalam membuat penyelesaian mendapatkan maklumat ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan prestasi.  Oleh itu, ianya harus dimanfaatkan bagi semua pendidik bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran (P&P) khususnya dalam mempelbagaikan kaedah P&P dan menjadikan P&P yang lebih berkesan dan menarik minat pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan menggunakan pendekatan perbincangan dalam kumpulan merupakan salah satu kaedah yang sering digunakan oleh guru semasa sesi pengajaran. Hal ini kerana ia dapat menggalakkan pelajar untuk mengemukakan idea dan pendapat secara bebas. Namun demikian, perbincangan sering gagal berfungsi sebagai satu unit kerana interaksi yang berkesan sesama pelajar tidak berlaku. Jesteru pengkaji ingin menghuraikan  tentang Penggunaan media sosial sebagai medium perbincangan dalam Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan IslamPendekatan ini merupakan satu proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar dengan memberi peluang kepada pelajar terlibat dalam aktiviti dengan secara aktif serta membolehkan pembelajaran sosial berlaku melalui perbincangan kolaboratif semasa menghadapi masalah atau ketidakfahaman tentang sesuatu perkara. Di samping itu juga  motivasi pelajar terhadap bahan pengajaran dan pembelajaran terbentuk secara tidak langsung melalui penggunaan  laman sosial. Justeru itu, pembelajaran yang berkesan akan berlaku  disamping dapat meningkatkan lagi minat dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam.


Kata kunci : Media Sosial, Pendidikan Islam, Kaedah Perbincangan, Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) & Pembelajaran Berkesan.









Pengenalan
Penggunaan teknologi dalam pendidikan bukan suatu perkara yang asing lagi pada masa kini. Penggunaanya boleh membantu untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran, di samping dapat mewujudkan  pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang lebih menarik dan berkesan. Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan menggunakan pendekatan perbincangan dalam kumpulan merupakan salah satu kaedah yang sering digunakan oleh guru semasa sesi pengajaran. Hal ini kerana ia dapat menggalakkan pelajar untuk mengemukakan idea dan pendapat secara bebas. Namun begitu, perbincangan sering gagal berfungsi sebagai satu unit kerana interaksi yang berkesan sesama pelajar tidak berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti kekangan masa, sifat malu pelajar serta rasa rendah diri.  Jesteru penulisan ini akan membincangkan aplikasi penggunaan facebook sebagai medium perbincangan yang efektif dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam  agar dapat meningkatkan kefahaman dan memotivasi dalam pengajaran.

Pendidikan Islam Di Era ICT
Pendidikan Islam tidak boleh dianggap sebagai mata pelajaran yang hanya membincangkan persoalan berkaitan ibadah dan hukum semata-mata (Tajul Ariffin Noordin, 1993). Guru Pendidikan Islam (GPI) seharusnya mengintegrasikan ilmu Wahyu dengan ilmu akal, memberikan nafas baru dalam pengajaran Pendidikan Islam sesuai dengan pandangan Ibnu Khaldun (2000) kemajuan peradaban perlu dimanfaatkan dalam pengajaran. Pendidikan Islam seharusnya diajar berdasarkan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan keperluan, kesediaan dan persediaan sedia ada dengan cara dan mod baru (Ibnu Khaldun, 2000:  Abd Ghani & Norhashimi 1997). Pendidikan merupakan satu aspek yang penting di dalam kehidupan setiap individu. Pendidikan bermula sejak seorang itu dilahirkan sehinggalah ia menemui ajalnya. Pendidikan bagi manusia meliputi aspek jasmani,rohani, akal dan sosial. “Manusia mendidik anaknya supaya badannya sihat dan kuat, akalnya waras dan cerdas, rohaninya luhur dan berbudi pekerti tinggi, tahu bermasyarakat dan menyesuaikan diri dalam kelompoknya” (Musa 1986). Keseimbangan antara ketiga-tiga aspek itu (roh, akal dan jasmani) merupakan sifat insan saleh. Keseimbangan itu akan melahirkan insan yang sempurna sifat kemanusiaannya,     melahirkan keseimbangan  dari segi keimanan kepada alam yang wujud dan alam yang  ghaib. Keseimbangan itu juga akan  melahirkan  keseimbangan dalam   kehidupan   sama   ada   dari   segi   politik,   ekonomi,  kemasyarakatan  dan semua kegiatan hidupnya.  Firman Allah  dalam Surah Al-Baqarah, ayat 143 :
Maksudnya:“Dan  begitulah  Kami menjadikan kami (umat Muhammad  SAW )  ummah yang  adil (pilihan) agar kamu menjadi saksi di akhirat kelak  ke atas  umat  yang lain dan Rasulullah SAW menjadi  saksi  ke  atas kamu.”
Keistimewaan sistem pendidikan Islam ialah kemampuannya untuk melahirkan insan soleh yang memiliki sifat-sifat ijabiah (positif) yang menguasai setiap tindakannya di dalam kehidupan di muka bumi ini. Namun, tidak dinafikan sifat-sifat salbiyah (negatif)  seorang  muslim sering cuba mempengaruhinya.  Bagaimanapun, hasil pendidikan Islam  yang  bersepadu meliputi ketiga-tiga komponen di atas menjadikannya mampu  bertindak positif atau menghasilkan tindakan yang  positif di dalam semua keadaan.
Manusia adalah makhluk yang mempunyai pelbagai persediaan. Ada yang bersifat positif  dan ada pula yang bersifat negatif.  Sekiranya  persediaan  tersebut  dibiarkan  tanpa  kawalan, bimbingan  dan  didikan yang mengambil kira ketiga-tiga aspek  keinsanan itu, maka  natijahnya  akan  berlakulah ketidakseimbangan  dan  akan lahirlah  sifat-sifat  yang  kadangkala positif dan kadangkala negatif. Dengan perkataan lain lahir sikap ‘double standard’ dalam tindakannya. Dalam sistem pendidikan Islam, makhluk insan mempunyai jisim  dan roh,  hati dan akal,  perasaan  dan  jasad. Seseorang  muslim tidak akan berjaya, merasai bahagia  dan tidak membangun secara adil dan saksama melainkan setelah semua unsur diberi hak pendidikan yang sama  rata dan adil pula.
Kehebatan teknologi yang wujud pada era sekarang harus dipandang sebagai satu kelebihan untuk dimanfaatkan bagi mereka yang bergelar pendidik  dan pendakwah bagi mengembangkan Islam  pada zaman ICT ini. cara dan pendekatan dakwah dan penyampaian ilmu mesti bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa. Bertitik tolak daripada itulah, zaman teknologi maklumat tanpa batasan ini perlu diambilkira dalam aspek penyampaian risalah Allah S.W.T. Dalam sifat yang lebih global, perkembangan teknologi menjadi pemangkin dalam usaha penyebaran dakwah melalui pelbagai wahana yang disediakan oleh teknologi. Contohnya aplikasi internet, drama, filem dan iklan, animasi, radio, televisyen dan banyak lagi aplikasi terkini yang terlalu mudah untuk dicapai. Persoalannya, bagaimana untuk menggunakan medium tersebut agar ia berkesan dalam penyampaian ajaran Islam dan lebih daripada apa yang sekadar dipaparkan. Sebaliknya mempunyai unsur-unsur dan mesej-mesej yang sesuai dengan realiti dan kehendak sebenar masyarakat Islam ( Norkumala, 2009 )
Perlu ditegaskan bahawa dalam persekitaran budaya berpengetahuan dan berkomunikasi yang meningkat ditahap global melepasi sempadan-sempadan negara dan local, ICT merupakan unsur penting yang tidak boleh diketepikan oleh sektor pendidikan di mana-mana negara dalam era pendidikan abad ke-21. Pelajar-pelajar dalam sistem pendidikan yang dapat menguasai penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi akan mempunyai kelebihan yang lebih jauh daripada mereka yang tidak mempunyai kemahiran-kemahiran berkenaan. Justeru itu juga negara dan masyarakat yang dapat menguasainya, sama ada dalam penggunaan untuk aktiviti pengeluaran mahupun dalam aspek penggunaan dalam aktiviti perkhidmatan secara bijak dan berkemahiran tinggi akan terkehadapan untuk menghadapi cabaran globalisasi yang berasakan pengetahuan dan ilmu pada abad akan datang. Dunia pendidikan sangat mengharapkan kehadiran media pembelajaran yang bermutu tinggi untuk meningkatkan kulaiti pendidikan. Kehadiran media seperti ini tidak bermakna kehilangan peranan guru sebagai penentu jalan proses pengajaran dan pembelajaran. Namun, kehadiran media pembelajaran yang berkesan boleh membantu mempertingkatkan lagi mutu pengajaran dan pembelajaran. Kehadiran teknologi multimedia memberi harapan baru dalam era pendidikan kerana media pembelajaran ini mempunyai keupayaan yang tidak diperoleh dari media lain sebelum ini. Menurut Norkumala (2009), teknologi membuka ruang kepada penyebaran maklumat mengenai agama dengan lebih pantas dan berkesan. Namun, jumlah penyebaran maklumat yang banyak tidak dapat menjamin mutu kefahaman tentang agama. Jesteru peranan pendidik amat penting sebagai murabbi atau pemantau terhadap  maklumat di internet dari semasa ke semasa supaya tidak ada maklumat yang mengelirukan ataupun memesongkan akidah yang boleh mempengaruhi pemikiran dan kepercayaan umat Islam. Di samping itu, tuntutan kepada pendidikan dan panduan asas perlu diberikan kepada para pelajar disertakan dengan peranan pengawasan daripada ibu bapa  terhadap perisian yang ada pada masa kini. Ia merupakan satu solusi untuk membentengkan masyarakat muda dalam kepincangan pencarian maklumat kini.

Kesimpulannya Pendidikan Islam di era ICT harus mengambil kira kemajuan dan teknologi yang semakin berkembang kini. Teknologi sentiasa berkembang dan harus difikirkan bagaimana untuk mengembangkan kesedaran masyarakat dalam mengintergrasikan pembangunan ICT dengan pembangunan insan. Namun kemajuan dalam ICT dianggap gagal sekiranya tidak berjaya  menghubungkan manusia dengan Allah. Oleh itu, manfaat daripada perkembangan teknologi perlu digunakan dalam usaha untuk mendekati masyarakat  pada masa kini yang mengharapkan natijah akhirnya adalah pembangunan jiwa ummah. Jesteru perlu dimanfaatkan  penggunaan teknologi perlu secara seimbang dan bijaksana. Pendidik dialaf baru haruslah mampu menguasai dan menggabungkan kemahiran-kemahiran yang berkaitan untuk melahirkan satu bentuk pendidikan yang lebih bermakna dan bestari. Kebestarian sesuatu pengajaran itu bergantung kepada sejauh manakah seseorang pendidik dapat mengintegrasikan aspek pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan generasi muda yang berfikiran kriitis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah pendidikan Negara.

Media Sosial  Dan ICT Dalam Pendidikan Islam
Penggunaan Media sosial dalam pembelajaran adalah konsep yang mengunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam sistem pendidikan. Ia adalah satu perkembangan pendidikan hasil daripada proses ledakan Information and Communication Technologies (ICT) yang merujuk kepada penggunaan teknologi tersebut dalam membuat penyelesaian mendapatkan maklumat ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan prestasi. Dalam konteks dunia hari ini teknologi maklumat konvensional seperti akhbar, teievisyen dan radio telah menjadi agen utama kepada perhubungan dan penyebaran berita masayarakat. Namun dengan perkembangan arus globalisasi dan Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK) sekitar tahun 1960-an, jaringan internet mula menjadi media alternatif menggantikan yang arus perdana seperti teievisyen dan radio. Internet atau lebih spesifik dikenali sebagai World Wide Web (www) yang ditawarkan melalui komputer telah membawa implikasi yang besar dalam perkembangan dunia komunikasi malah diklasifikasi sebagai media sosial yang pantas berkembang (Nur Azween Zakaria & Nidzam Sulaiman, 2008). Internet telah menjadi semacam “agama sosial” bagi abad ke-21 dan buat abad-abad masa depan, yakni mengambil alih kepercayaan yang sama yang pernah diberikan pada televisyen sebaik mesinnya GE Octagon dicipta pada tahun 1928 dan di sepanjang abad 20, ketika budaya penghidupan manusiawi dibentuk dan terbentuk dari kesan-kesan pengaruh yang terpancar melalui skrin kaca ini ( Abu Hasan, 2008).
Penggunaan komputer dan internet mula bertapak di arena pendidikan dengan memperkenalkan alat pandang dengar, radio pendidikan dan TV pendidikan. Alat pandang dengar mula diperkenalkan pada tahun 1949. Tujuannya ialah untuk pembinaan dan penerbitan bahan bantuan mengajar, membekalkan maklumat dan lain-lain. Namun begitu radio pendidikan lebih awal mempeloporinya iaitu pada tahun1946 di bawah Jabatan Penyiaran, Kementerian Penerangan. Pada tahun 1972 Kementerian Pendidikan telah mengadakan stesyen atau siaran televisyen pendidikan bagi  tujuan memodenkan pengajaran  sehinggalah penggunaan komputer dan internet diperluaskan pada tahun awal 1990-an (V. Pang, 1992 ). Teknologi komunikasi dan  maklumat  dianggap sebagai media sosial  yang menyalurkan serta menyediakan pelbagai maklumat kepada massa. Menurut  Shaikh Mohd Saifudden (2002), teknologi  yang dikenali sebagai ICT ini sebenarnya adalah rangkuman dua kompenen teknologi iaitu “teknologi maklumat” dan  “teknologi komunikasi”. Teknologi maklumat merujuk kepada kaedah untuk menyimpan , memproses dan menganalisis data sehingga  menjadi maklumat yang berguna. Manakala teknologi komunikasi pula ialah sebagai kaedah untuk menyampaikan data dan maklumat dari seseorang kepada seseorang yang lain dan dari satu tempat ke tempat yang lain. Oleh itu, jelaslah berdasarkan huuraian ini ICT adalah teknologi  yang memberi  kemudahan kepada pengguna untuk berkomunikasi dan memperolehi maklumat.
Teknologi maklumat dan komunikasi semakin berkembang dengan adanya pelbagai aplikasi berasaskan Internet. Media sosial ini bukan hanya “perpustakaan maklumat” untuk memudahkan pengedaran maklumat kepada khalayak global, malah lebih daripada itu. Media ini juga merupakan alat yang berpengaruh bagi aktiviti komunikasi. Tambahan pula, dengan teknologi Web 2.0, bentuk penggunaan Internet telah berubah dan banyak yang boleh dilakukan dengan media sosial ini (Siti Ezaleila Mustafa & Azizah Hamzah, 2010). Ini secara tidak langsung menunjukkan media sosial sekarang lebih bersikap mudah untuk menggunakannya atau mesra pelanggan. Secara tidak langsung, perkembangan ini berjaya menarik lebih ramai pengguna mengaplikasikannya. Oleh sebab itu Levinson (2009) menyebutnya sebagai “new new media” lebih sosial daripada media sosial yang menunjukkan perbezaan berbanding media sosial klasik seperti e-mel dan laman web. Media ini bukan hanya alat bagi kemudahan pengedaran, pengarkiban dan berasaskan teks, tetapi kini menjadi alat bagi media sosial yang berkeupayaan untuk menyampaikan kandungan media dan menyediakan kemudahan interaksi antara pembaca dengan penulis. 
Data daripada Internet World Stat (www.internetworldstats.com) menunjukkan jumlah pengguna media sosial ini meningkat saban tahun. Antara tahun 2000 hingga 2009, statistik menunjukkan peningkatan pengguna Internet di seluruh dunia 339.3% dan 42.4% pengguna Internet adalah dari Asia. Malaysia tergolong dalam Top 10 di Asia dengan 16.9 juta pengguna pada tahun 2009.Mengikut data yang diberikan oleh Alexa.com (syarikat pemerhati laman web yang berpengkalan di U.S), terdapat senarai 100 laman web yang sering dilawati oleh pengguna-pengguna Internet di Malaysia. Untuk pemerhatian ini, penulis  hanya  paparkan 10 laman web teratas sahaja :
Ranking
Senarai Laman Web
1
facebook.com
2
google.com.my
3
yahoo.com
4
google.com
5
youtube.com
6
blogger.com
7
live.com
8
wikipedia.org
9
msn.com
10
myspace.com

Jadual  1  : Paparan 10 laman web teratas yang sering dilawati oleh                                                                   pengguna-pengguna Internet di Malaysia

Berdasarkan kepada jadual di atas, jelas menunjukkan bahawa pengguna-pengguna internet di Malaysia lebih cenderung melayari laman-laman web yang berunsurkan media sosial.  Perkara ini lebih jelas lagi apabila statistik  dari laman web socialbakers.com  melaporkan, jumlah pengguna  laman sosial facebook di Malaysia kini melebihi 12 juta orang. Jumlah ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Menurut Kajian Norizan et al (2010) penggunaan laman sosial facebook menjadi semakin popular di Malaysia  sama ada di kawasan bandar mahupun di luar bandar. Ini kerana, kewujudan alat mudah alih tanpa wayar seperti broadband, Streamyx, P1 Wimax dan Unifi semakin melauas dikalangan masyarakat telah berkembang kepada peningkatan pengguna di negara ini.  Mengikut statistik socialbakers.com  lagi, pengguna laman sosial facebook yang tertinggi di Malaysia adalah terdiri  dari kalangan yang berumur 18 tahun – 24 tahun. Perkara ini dapat dilihat menerusi jadual di bawah.


Chart
 











Rajah  1  Statistik umur pengguna Facebook di Malaysia. (Sumber: socialbakers.com)

Jesteru para pendidik harus memanfaatkan peluang ini dengan mempelbagaikan bahan-bahan ilmiah  dalam media sosial agar dapat dimanfaatkan oleh pengguna bagi tujuan pembelajaran. Para pendidik juga harus memanfaatkan ruang-ruang perbincangan dalam media sosial supaya dapat digunakan sebagai kaedah P&P bersama dengan pelajar. Perkara ini disokong oleh Wan Zah Wan Ali (2009) dengan menyatakan bahawa dalam perkembangan ICT masa kini, tidak dapat dinafikan komputer dan internet  mempunyai kesan yang besar kepada sesebuah negara. Perkembangan yang berlaku ini tidak harus disia-siakan oleh guru Pendidikan Islam dalam meningkatkan prestasi pengajaran mereka seterusnya  mempelbagaikan  bahan bantu mengajar bagi menarik minat pelajar terhadap Pendidikan Islam.
Teknologi maklumat dan komunikasi telah mengubah cara manusia bekerja. Ia juga dapat mempermudahkan tugas serta meningkatkan prestasi guru seperti penggunaan teknologi untuk kerja-kerja pengurusan dan kerja-kerja pengajaran pembelajaran. Becker (1991) menyatakan “empayar di masa depan ialah empayar pemikiran dan minda”. Untuk mengembangkan pemikiran dan minda pelajar khususnya, pendekatan pengajaran dan pembelajaran teknologi maklumat di sekolah perlu digubah kepada pemikiran penyelidikan, mengumpul maklumat, menganalisis data ke arah menggalakkan kreativiti dan motivasi pelajar. Pendekatan pengajaran secara tradisional secara sogokan nota-nota seharusnya di kikis dari pemikiran guru tetapi diubah dengan membekalkan pengetahuan dan kemahiran ke arah mendapatkan maklumat. Menurut Ab. Halim et al. (2006), sesuatu pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam yang diintergrasi dengan penggunaan komputer membolehkan pelajar menggunakan pengkalan atau hamparan elektronik untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah. Data dapat di manipulasi dengan mudah, diuji daripada beberapa perspektif, membuat tekaan serta mengujinya. Keupayaan multimedia membolehkan pelajar menerokai idea mereka dengan menggabungkan grafik, animasi, video dan bunyi dalam dokumen mereka. Menurut Ab. Halim et al. (2006) lagi, pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam akan menjadi lebih menarik, bermakna dan menyeronokkan jika guru menggunakan pengkalan data untuk mengajar tentang kenabian dan kerasulan, peperangan dalam Islam, sejarah Al Quran dan juga hadis.Melalui teknologi terkini, pelbagai laman web tempatan yang dibangunkan khusus untuk pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan Teknologi ICT & Media Sosial Menurut Pandangan Islam
Teknologi adalah ilmu kurniaan Allah S.W.T kepada manusia untuk menguji manusia samada mereka dapat menggunakan pemberian Allah ini kearah kebaikan dan keburukan. Setiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah S.W.T semestinya ada baik dan ada buruknya. Merujuk kepada sejarah Islam, teknologi bukanlah sesuatu yang asing. Ia adalah satu proses yang berterusan, berkembang bersama kepandaian manusia untuk memudahkan urusan kehidupan. Islam tidak pernah menghalang serta mengharamkan teknologi serta ciptaan sosial terutamanya untuk dimanfaatkan dalam sistem pendidikan. Oleh itu hukum asal sesuatu adalah mubah (harus) termasuk segala apa yang dibawa oleh pelbagai peradaban samada lama atau sosial. Tidak ada hukum sesuatu itu haram kecuali jika terdapat nas dan dalil yang terang serta jelas menyatakan sesuatu itu haram. Ini menunjukan Islam adalah agama yang sesuai dengan perubahan zaman dan menuntut agar umatnya selalu maju dalam peradaban.Islam juga merupakan satu agama yang amat menitikberatkan soal ilmu pengetahuan.
ICT  banyak berhubung kait dengan konsep ilmu pengetahuan di dalam Islam (Abd Hadi Borhan, 2012). Islam sebagai sebagai satu cara hidup yang lengkap  serta merangkumi  segala aspek kehidupan  manusia untuk kebaikan dunia dan akhirat sudah semestinyalah  menitiberatkan  soal ilmu pengetahuan.  Begitu banyak  ayat-ayat al-Quran  dan hadis-hadis nabi  yang menekankan  akan soal kepentingan ilmu pengetahuan. Penekanan terhadap ilmu pengetahuan  menunjukkan agama Islam sentiasa membentuk umatnya dengan keintelektualan (Hoffman 1997 dalam Abd Hadi, 2012 ). Wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah S.W.T merupakan satu arahan daripada Allah S.W.T agar umat manusia  membaca. Ini menunjukkan  ruang lingkup ilmu pengetahuan dalam Islam adalah amat luas dan mencakupi pelbagai bidang dan sub bidang. Tidak terkecuali ilmu yang berhubung kait dengan teknologi maklumat dan komunikasi juga merupakan salah satu daripada bidang ilmu yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Firman Allah S.W.T dalam surah al-alaq 96 :1-5 :
Maksudnya: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.  Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
ICT telah membolehkan proses pembelajaran, pencarian maklumat dan perhubungan berlaku dengan begitu pantas dan mudah sekali. Satu kompenen utama ICT ialah teknologi komunikasi. Sekiranya kita mengkaji al-Quran, kita akan mendapati terdapat banyak  ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang manisfestasi  awal komunikasi yang dilakukan oleh manusia. Dengan lebih tepat sekali ialah bagaimana Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s berkomunikasi dengan makhluk-makhluk Allah S.W.T  yang lain seperti yang disebut di dalam al-Quran (Shaikh Mohd Saifuddeen, 2002). Usaha untuk melibatkan aktiviti mengumpul maklumat, menganalisis dan mengembangkannya juga  boleh dilihat sebagai contoh dalam perbincangan berkaitan dengan pembukuan Al-Quran, pengumpulan hadis dan hasil dari perbincangan berkaitan Ijma’, Qias dan Ijtihad.  Jelaslah di sini bahawa kemajuan teknologi dan komunikasi bukanlah sesuatu yang baru dari perspektif Islam. Namun terdapat perbezaan  yang seringkali manusia tersasr dalam menginterpretasi dan mengukur secara objektif antara peranan agama dan alat. ICT dan media sosial hanyalah alat  penghubung bagi penyebaran maklumat kepada individu ataupun kelompok yang tidak  dapat menandinggi keunggulan komunikasi wahyu dalam sejarah rasul (Abd Hadi Borhan, 2012).
Islam amat menekan etika  dan prinsip dalam berkomunikasi. Sehubungan dengan itu, penggunaan ICT dan media sosial juga perlu disandarkan kepada etika dan prinsip-prinsip yang digariskan oleh Islam. Antaranya ialah berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat. Perkara ini ditegaskan oleh Allah S.W.T  berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam sural Al Hujrat 49:6:
Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Berdasarkan ayat tersebut, jelas memperlihatkan bahawa Allah S.W.T. menyuruh umat Islam menyelidiki terlebih dahulu sumber dan maklumat yang diterima untuk menentukan kebenaran maklumat demi menjaga keharmonian masyarakat dari terjebak ke dalam sesuatu musibah hasil dari penyebaran maklumat yang salah. Al-Quran telah menegaskan tentang prinsip berkomunikasi hendaklah besandarkan kepada semangat persaudaraan (ukhuwwah) sebagaimana yang ditekankan dalam ayat di atas.
Islam  juga mengingatkan prinsip dalam berkomunikasi  agar tidak menyakiti atau menghina pihak yang lain keranatindakan itu boleh menyebabkan implikasi yang tidak elok terhadap agama. Diri, keluarga, masyarakat dan negara. Perkara ini ditegaskan dalam al-Quran  dalam surah al-Hujurat 49 :11 :
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Jesteru penggunaan teknologi ICT dan media sosial masih tertakhluk kepada peraturan  dan hukum yang dibenarkan oleh Islam. Tujuannya adalah untuk mendukung dakwah dan mengajarkan peradaban Islam dalam sistem P&P, Sekiranya kemudahan ICT disalahgunakan seperti melayari laman-laman web lucah, menyebarkan fitnah dan menggalakkan pergaulan tanpa batasan, tentu suatu kesalahan yang besar jika kita menyalahkan medianya. Penggunaan teknologi dalam pendidikan perlu menghindari unsur-unsur maksiat yang boleh menghilangkan cahaya ilmu seperti pornografi, ideologi yang bercanggah dengan agama, pendedahan aurat, iklan yang merosakkan serta perkara melalaikan. Kerana ilmu adalah cahaya dan cahaya tidak akan bersama pelaku maksiat. Penggunaan teknologi perlu disertakan dengan elemen kerohanian dan dakwah kerana teknologi yang melalaikan manusia dari mengingati Allah S.W.T tidak bermakna di sisi Allah. Justeru, setiap mata pelajaran perlu disertakan dengan perbincangan yang meningkatkan iman seperti betapa hebatnya Allah menyusun ilmu matematik, betapa bijaknya Allah S.W.T memberikan akal dan ilham kepada manusia sehingga membolehkan manusia itu menciptakan sesuatu teknologi. Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dinyatkan bahawa  teknologi ICT dan media sosial dapat dimanfaatkan untuk kebaikan agama Islam. Ia mereupakan teknologi penghubung  capaian maklumat di seluruh dunia yang dapat dicapai dengan pantas dan mudah.  Jesteru sekiranya ia diguna untuk tujuan kebaikan maka akan beroleh hasil kebaikannya, sebaliknya pula sekiranya diguna untuk tujuan kejahatan dan keburukan maka hasilnya pastilah kerosakan dan keburukan. Manfaatkanlah teknologi agar ianya dapat memperi impak yang besar dan lebih berkesan  khusunya dalam dunia Pendidikan Islam.


Kelebihan  Penggunaan Media Sosial  Dalam Pembelajaran   Pendidikan
Islam

Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam semakin penting pada masa kini. Cara yang paling berkesan untuk memanfaatkan keupayaan komputer adalah dengan menjadikannya alat untuk membantu kerja-kerja pendidik supaya menjadi lebih mudah dan berkesan. Secara tidak langsung,  produktiviti dapat dipertingkatkan serta pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih menarik. Komputer juga mampu melakukan banyak perkara di luar kemampuan manusia (Musa Muhamad. 2001). Kehadiran teknologi multimedia dan internet  adalah anugerah istimewa kepada dunia Pendidikan. Aktiviti pendidikan menjadi lebih berkembang, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi seumpama ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru  dan pelajarnya sahaja, malah  boleh dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik-bilik kelas bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya boleh dilakukan menerusi  alam maya.  Hal ini kerana, masyarakat sekarang banyak bergantung kepada alat-alat elektronik dalam kehidupan mereka.
Penggunaan   komputer dan Internet dalam pengajaran dan pembelajaran juga memberi satu suasana yang fleksibel. Pelajar boleh berhubung dengan guru dan rakan dalam bentuk  serentak (synchronous) dan tertangguh (asynchronous) melalui ruangan perbualan (chat) atau surat eletronik (e-mail). Ini bermakna pelajar mempunyai ruang untuk berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dengan mudah. Perbincangan secara maya membantu pelajar bertukar-tukar pendapat dengan selesa tanpa kekangan masa dan ruang. Pangkalan data di dalam komputer boleh  menyimpan pelbagai maklumat yang mudah untuk dicapai oleh para pelajar pada bila-bila  masa dan di mana jua mereka berada sama ada  di dalam atau di luar bilik darjah (Jamaludin, 2005).
Terdapat beberapa kelebihan penggunaan media sosial  dalam pembelajaran    Pendidikan Islam  antaranya menjadikan pelajar tidak hanya perlu bergantung kepada pembelajaran dalam kelas sahaja. Pelajar masih boleh berhubung dengan guru di luar waktu kelas melalui forum- forum perbincangan, email, facebook dan sebagainya. Selain itu, pelajar juga mudah menghubungi rakan sekelas mereka serta membincangkan masalah serta kekeliruan yang mereka hadapi secara online terutamanya melalui forum perbincangan dalam facebook dan emailgroup. Selain itu, pelajar juga boleh berhubung atau berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka dari sekolah-sekolah lain serta berkongsi pendapat dan idea dengan mereka dengan menggunakan kemudahan web. Menurut Muhammad Haron Husaini et al. (2010) penggunaan teknologi menjana minat pelajar terhadap apa jua yang disampaikan dalam kelas, lebih-lebih lagi pelajar yang mempunyai kelemahan dalam aspek pengajarn yang tertentu.
Pembelajaran dan pengajaran menggunakan media sosial adalah konsep yang mengunakan teknologi maklumat dan komunikasi dalam sistem pendidikan. Ia adalah satu perkembangan pendidikan hasil daripada proses ledakan Information and Communication Technologies (ICT) yang merujuk kepada penggunaan teknologi tersebut dalam membuat penyelesaian mendapatkan maklumat ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan prestasi. Perkara Ini disokong oleh (Abdul Razak Abdul Mutalib & Ezry Fahmy Eddy Yusuf, 2009) yang menyatakan bahawa Media massa bentuk baru ini telah diiktiraf sebagai salah satu medium untuk menyampaukan maklumat pada masa terkini. Gambaran maklumat dan informasi yang dipaparkan berupaya mempengaruhi minda, pemikiran dan seterusnya kepada tindakan tertentu. Dalam dunia pendidikan semua ahli akademik mesti menguasai teknologi maklumat terkini dan para guru digalakkan untuk mengintegrasikan ICT dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Robiah & Nor Sakinah (2007) berpendapat perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menuntut agar perubahan dibuat ke atas kaedah mengajar dan belajar. Hal ini memberikan pendedahan kepada guru Pendidikan Islam tentang proses pembelajaran dan pengajaran menggunakan teknologi masa kini khususnya media sosial yang seringkali menjadi media yang popular  generasi masa kini.
Sidek Ab Aziz (2009) menjelaskan e-pembelajaran juga didefinasikan sebagai penggunaan teknologi berinovasi dan model pembelajaran yang dapat menukar cara seseorang memperolehi kemahiran dan menambahkan pengetahuan yang baru dan ia juga dapat dikatakan sebagai integrasi teknologi maklumat kedalam system pembelajaran yang dapat digunakan tanpa terhad kepada faktor tempat dan masa. Pengajaran berasaskan laman web merupakan alternatif atau cara baru pengajaran yang mempunyai potensi untuk menghasilkan pengajaran yang lebih bermakna.Ciri-ciri antara muka dan fizikal laman web mempunyai impak yang berlainan berbanding pengajaran konvensionaldan penggunaannya melalui laman web yang berkaitan dengan maklumat topik akan memudahkan sesiapa sahaja untuk membuat rujukan tanpa mengira masa dan waktu. Lambakan maklumat yang terdapat didalam internet boleh dimanafaatkan oleh guru dan pelajar dalam kebijaksanaan memilih bahan-bahan yang bersesuaian untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran (Md Yusuff Daud et al,2006).
Kaedah pembelajaran dengan mengaplikasikan media sosial membolehkan pelajar  mencari maklumat serta artikel yang berkaitan dengan pelajaran dengan lebih cepat dan mudah. Nota atau maklumat yang berkaitan dengan kelas juga boleh disebarkan dan diperoleh melalui Web dan media sosial  di mana semua pelajar boleh mengaksesnya dalam satu masa serta dapat meningkatkan pemahaman dan pengekalan informasi dlam ingatan. Ini kerana pengunaan media sosial dan pelbagai media yang dinamik membolehkan sesorang memahami sesuatu isi kandungan dengan lebih pantas dan seterusnya menyimpan informasi yang diterima ke ingatan untuk jangka masa yang panjang. Kajian saintifik membuktikan proses ingatan yang berlaku dalam otak manusia mudah dilaksanakan apabila manusia menerima pelbagai pengukuhan dengan mengunakan pelbagai jenis media seperti audio,grafik terutamanya laman web sebagaimana dinyatakan oleh Latifah Sidek et al.(2010). Dalam konteks semasa, pelbagai isu agama khususnya yang berkaitan dengan agama Islam, boleh kita peroleh dengan mudah dan pantas.   Setidaknya dengan kemunculan internet, medium untuk mempelajari agama juga bertambah.  Namun demikian dalam mempelajari agama bimbingan seorang guru tetap  diperlukan untuk menghindari kemungkinan kita mengikuti ajaran yang sesat dan tidak berlandaskan dengan lunas-lunas agama yang betul. Ini disebabkan kandungan ilmu tentang agama Islam mempunyai pelbagai mazhab dan aliran yang disebarkan dalam alam maya ini. 
Penggunaan aplikasi Internet memberikan wadah baru atau inovasi baru kepada guru untuk menarik minat pelajar membaca dan mengumpulkan maklumat. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh  Descy (1998), terdapat empat kelebihan penggunaan laman web dalam menyampaikan pengajaran dan pembelajaran:
                                i.            Penghantaran maklumat  menjadi mudah dan membolehkan pelajar yang memerlukan maklumat menyalin dan menyimpannya.
                              ii.            Bahan yang ditawarkan melalui laman web mudah untuk dikemaskini berdasarkan perkembangan semasa.
                            iii.            Bahan yang diberi kepada para pelajar mudah untuk dikawal melalui kata laluan tertentu.
                            iv.            Perisian yang menggunakan laman web tidak memerlukan platform yang khusus. Pengguna boleh menggunakan komputer biasa berdasarkan aplikasi windows.

Sebelum era teknologi internet berkembang, ajaran Islam boleh kita dapatkan melalui pengajian di masjid, TV atau radio yang lazimnya perlu mengikut waktu dan jadual yang telah ditetapkan..  Sumber agama melalui  majalah pula ada ketikanya liputan isunya agak terbatas.  Begitu juga dengan buku-buku Islam yang mengambil banyak masa untuk mencarinya  (Umar & Samsudin 2011). Dengan banyaknya laman web mengenai keagamaan, perkara ini dapat memudahkan para pengguna internet mengakses mana-mana maklumat yang mereka perlukan.Dengan kemudahan yang dapat diperoleh daripada internet, waktu bukan lagi menjadi alasan untuk tidak mempelajari ajaran agama. Antara kelebihan penggunaan media sosial untuk pembelajran kepada pelajar  adalah seperti berikut :
                          i.         Menggalakkana pembelajaran secara  bebas dan aktif  serta meningkatkan tanggungjawab kendiri di kalangan pelajar.
                        ii.         Pelajar dapat mengakses internet atau media sosial tanpa mengira masa dan tempat.
                      iii.         Dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk menggetahui maklumat secara lebih mendalam dan tidak hanya terikat kepada kurikulum sahaja.
                      iv.         Dapat memperkembangkan gaya pembelajaran aras tinggi.
                        v.         Pelajar dapat mencari  pelbagai sumber maklumat tanpa batasan dengan tempoh waktu yang singkat.
                      vi.         Dapat mempertingkatkan keyakinan, kefahaman serta kemahiran analitikal dikalangan pelajar.
                    vii.         Dapat mewujudkan persaingan sihat dikalangan pelajar supaya berlumba-lumba mencari maklumat sebanyak mungkin.
                  viii.         Pelajar dapat menghubungi guru atau rakan sekelas mereka serta membincangkan masalah serta kekeliruan yang mereka hadapi secara online terutamanya melalui forum perbincangan.
Bagi menjayakan penggunaan ICT  dan aplikasi media sosial dalam bidang pendidikan, penglibatan semua pihak dari pihak pentadbiran atasan hinggalah peringkat bawahan perlu memainkan peranan serta haruslah bekerjasama dan berusaha dengan gigih untuk mengatasi halangan-halangan yang timbul dalam usaha-usaha untuk menjayakan penggunaan ICT dalam bidang pendidikan. Sekarang sudah tiba masanya para pensyarah dan guru menggunakan kemudahan internet yang ada di kampus atau di rumah, untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Janganlah kita membiarkan sahaja teknologi tersebut digunakan untuk tujuan hiburan semata-mata. Pembelajaran Pendidikan Islam menggunakan media sosial  amat sesuai dengan paradigma konstruktif (Khairul Nizam Mohd Khalid. 2012). Kita seharusnya sudah bersedia untuk merubah fokus daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pembelajaran yang berpusatkan pelajar. Maka tidak boleh disangkal lagi penggunaan media sosial adalah salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang amat sesuai pada masa ini, berbanding dengan pendekatan konvensional yang lazim digunakan.

Aplikasi Facebook Sebagai Medium Perbincangan Dalam  Pengajaran  Dan Pembelajaran  Pendidikan Islam

Menurut Caroline dan Terri (2009) terdapat pelbagai ciri-ciri unik yang menjadikan Facebook sesuai untuk aktiviti pendidikan. Contohnya, Facebook dilengkapi dengan: 
           i.         Papan buletin, 
         ii.         Pemesejan segera, 
       iii.         E-mel,
       iv.         Kebolehan untuk menyiarkan video dan gambar, 
         v.         Kebolehan  untuk  menyiarkan  maklumat  dan  bekerjasama  dalam  lingkungan sistem seperti acara, aplikasi, kewujudan kumpulan ‘ groups’ dan tanya soalan.

Jesteru dengan ciri-ciri yang unik ini serta penggunaan yang semakin meluas di kalangan para pelajar masa kini, sewajarnya ianya dimanfaatkan oleh guru-guru sebagai medium atau alat untuk menjadikan  p&p lebih menarik dan berkesan. Para guru boleh menjadikan media sosial seperti facebook ini sebagai satu medium perbincangan di antara  pelajar dengan dengan guru dan di antara pelajar dengan pelajar-pelajar yang lain. Sebelum ini, semasa sesi pengajaran kita sering kali  menggunakan kaedah  pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan menggunakan pendekatan perbincangan dalam kumpulan. Namun  begitu, perbincangan sering gagal berfungsi sebagai satu unit kerana interaksi yang berkesan sesama pelajar tidak berlaku. Oleh itu,  sebagai guru yang kreatif,  sebagai kita sepatutnya menggunakan peluang perkembangan ICT, iaitu laman sosial seperti  Facebook dan Twitter yang menjadi kegilaan remaja dewasa ini untuk memperbaiki kaedah perbincangan secara kumpulan (Rossafri Mohamad & Shabariah Binti Mohamad Shariff, 2011).

Menurut Caroline dan Terri (2009), amat penting bagi guru untuk memperkenalkan rangkaian sosial  kepada pelajar. Sebagai tugasan elektif, guru boleh meminta pelajar untuk membuka akaun Facebook dan Twitter sendiri kemudian menjadi kawan kepada kumpulan yang guru bina untuk para pelajar. Dengan membina peralatan dalam struktur social Facebook atau Twitter akan mengalakkan lebih banyak interaksi antara guru dengan pelajar. Kemudian ,guru boleh memuat naik tugasan atau bahan pengajaran untuk pelajar ke dalam laman sosial tersebut. Dengan ini, pelajar akan memberikan maklum balas tentang jawapan atau masalah yang mereka hadapi dalam menyelesaikan masalah serta merta. Pelajar akan mendapat jawapan dari keraguan yang mereka hadapi dalam seseuatu tajuk yang telah dibincangkan dalam kelas terus menerus dari gurunya tanpa perlu menunggu dalam jangka masa yang lama. Misalnya, guru memuat naik sebuah video mengenai  amalan ajaran sesat  dan meminta pelajar secara berkumpulan untuk memberi  ulasan atau pandangan tentang punca-punca berlakunya ajaran sesat. Pelajar juga dikehendaki memberi komen terhadap pandangan atau pendapat pelajar-pelajar  lain. Dengan wujudnya kaedah  seperti ini secara tidak langsung dapat merangsang pelajar yang pasif dan sukar untuk memberi idea atau bercakap semasa di dalam kelas. Mereka akan mudah terangsang dan teruja untuk memberi idea dan pandangan sekiranya ada dalam kalangan rakan-rakan mereka memberi komen mengenai sesuatu isu yang telah dibangkitkan oleh guru, bahkan akan berlumba-lumba memberi komen tanpa terikat dengan kekangan masa sekiranya perbincangan sedemikian berlaku dalam kelas pada waktu masa yang ditetapkan.

Selain itu juga, guru boleh menyampaikan maklumat dan bahan pengajaran berguna kepada pelajar, secara pantas maklumat tersebut diterima oleh pelajar. Dengan ini, dapat melahirkan pelajar yang berkemahiran menggunakan ICT dan laman sosial serta berdikari menyelesaikan masalah pembelajaran dan tugasan mereka. Oleh itu, penggunaan laman  sosial  dalam pembelajaran  Pendidikan Islam akan  menjadikan P&P lebih bermakna dan menyeronokkan. Tambahan pula, selaras dengan perkembangan ICT  bagi membolehkan pelajar mengakses maklumat mengikut masa dan kebebasan pelajar mereka sendiri. Keadaan ini secara tidak langsung akan menggalakkan proses penambahan dan percambahan ilmu pengetahuan.

Implikasi  Media Sosial  Terhadap Proses Pengajaran dan Pembelajaran  Pendidikan Islam

Perkembangan teknologi Internet ini telah mengubah model pengajaran dan pembelajaran  yang sedia ada (Kuang-Wu, 2000). Pelajar tidak lagi hanya menerima maklumat daripada guru dan buku teks sahaja, malah boleh  membuat pelbagai pilihan sumber melalui Internet. Perolehan maklumat  menerusi dunia maya sebegini boleh disifatkan sebagai kedai buku yang terbesar sehingga Ghandi (2001), mengkategorikannya sebagai perpustakaan maya. Penggunaan alatan rangkaian sosial menyokong pembentukan pelajar kreatif dan kolektif. Pemikiran kreatif yang maju ke hadapan selalunya merupakan hasil daripada pengetahuan yang kolektif yang terbentuk melalui perkongsian idea dan pengetahuan antara individu-individu secara bebas bagi mendapatkan keputusan yang terbaik. Pengetahuan yang dikongsi secara kolektif ini terus berkembang dan berubah hasil pertanyaan dan penambahbaikan berterusan bersama-sama para penyumbangnya.  Kreativiti, pemikiran aras tinggi dan pembinaan pengetahuan boleh digalakkan menerusi aplikasi, produksi dan penerbitan yang direka bentuk dengan baik (Nelson et. al, 2009).
Pembelajaran akan menjadi lebih bermakna apabila pelajar mencipta dan membina pengetahuan mereka sendiri. Menurut Batchelder (2010), aktiviti-aktiviti dalam rangkaian sosial menyediakan pelajar dengan proses aktif yang memberi makna signifikan kepada mereka.  Pelajar dimotivasikan secara semulajadi melalui amalan pedagogi yang berkesan dan penggunaan teknologi. Internet dan alatan rangkaian sosial mampu memberi peluang kepada pelajar untuk mencari maklumat, mengumpul bahan mereka sendiri, berkomunikasi, membina makna, dan menilai hasil akhir.  Pelajar dengan amalan pembelajaran terarah kendiri akan mewujudkan suasana pembelajaran aktif. Jelas menunjukkan media sosial  memberi impak yang penting dalam terhadap proses pembelajaran. Jesteru ianya haruslah dimanfaatkan oleh semua pihak terutamanya oleh  pendidik supaya menggalakkan  pelajar-pelajar mereka memanfaatkan media sosial bagi tujuan pembelajaran. Perkara ini ditegaskan oleh Cox ( 1997 ) penggunaan ICT yang merentasi kurikulum  secara berterusan akan dapat meningkatkan motivasi pelajar.
Pendidikan bukanlah sekadar menjadikan murid pandai membaca, tetapi untuk membolehkannya berfikir secara rasional, pandai mencari ilmu dan pandai membawa diri. Untuk mencapai objektif ini kaedah pengajaran dan pembelajaran mestilah bersifat inovatif dan berkesan bagi menghadapi murid dalam era digital ini. Dalam Pendidikan Islam, guru mestilah bijak menggunakan multimedia untuk menghadapi murid yang ‘bijak digital’ ini. Guru mestilah berupaya menggabungkan teknik pengajaran dan multimedia supaya subjek ini menjadi lebih menarik dan kompetitif (Khairul Nizam Mohd Khalid, 2012). Kepelbagaian pendekatan, strategi dan kaedah pedagogi era teknologi ini secara dasarnya didapati mampu meningkatkan keupayaan dan penguasaan prestasi akademik pelajar serta mampu bertindak sebagai medium agen memupuk minat dan sikap positif pelajar terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang pada dahulunya dilabelkan sebagai suasana yang membosankan. Secara kesimpulanya, Guru atau pensyarah harus mengambil iniasitif dan peluang kecanggihan teknologi yang sedang dinikmati masyarakat dunia hari ini dengan berusaha mengabungjalinkan diantara kaedah tradisional dan kaedah kontempori bagi menghasilkan kualiti P&P yang baik, berteknologi, inovatif, kreatif dan lebik berkesan.

Penutup

Penggunaan teknologi sememangnya memberi implikasi sosial yang lebih efektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sekaligus akan menyumbang kepada kelancaran dalam pendidikan  yang melibatkan semua subjek termasuklah bidang Pendidikan Islam. Dengan positifnya perkembangan internet ketika ini maka penggunaan internet merupakan salah satu kaedah dalam proses pembelajaran yang sangat penting, ini kerana ia dapat  membantu menjana pelajar berfikiran minda  yang lebih kritis dan inovatif selaras dengan perkembangan dunia pendidikan pada masa kini.


Rujukan

Al-Qur’an Al-Karim
Abd Hadi Borham. 2012. Islam dan Teknologi Maklumat. Dlm Muhammad Faisal Ashaari & Rosmawati Mohamad Rasit (pnyt.)  Ust Google Dakwah Menerusi Internet. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Abd. Halim Tamuri & Zaradi Sudin. 2006. Peranan Guru Pendidikan Islam Dari Literasi Komputer Ke Kompetensi Teknologi. Wacana Pendidikan Islam Siri 5. Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia
Abd Ghani dan Norhashimi. 1997. Sekolah bestari dari perspektif Islam dan perisianmultimedia dalam pengajaran pendidikan Islam. Kertas Kerja dalam SeminarKebangsaan Teknologi Maklumat dalam Pendidikan Islam. Anjuran maktab perguruan Islam Bangi dan jabatan kemajuan Islam Malaysia.
Abdul Razak Abdul Mutalib &Ezry Fahmy Eddy Yusuf 2009, Media massa dan seranganpemikiran. Kertas kerja dibentangkan di National seminar 2009: Media & Islamic Thinking(MIST09): Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan.
Abu Hassan Hasbullah. 2008. Kuasa Media Baru menggempur perubahan bentuk kandungan ekoposial di Asia Tenggara- satu pembacaan future studies. Jurnal Pengajian Media Malaysia. Volume 10, No 1
Becker, H.J. 1991. How computer are used in United State Schools. Basic data from the 1989 1-E-A. Computer in education survey. Journal at Educational Computing research. Vol. 7 (4), 385-406. 
Batchelder, C. W. (2010). Social software: Participants’ experience using social networking for learning (Doctoral dissertation, Capella University, 2010). ProQuest. (UMI No. 3398679).
Caroline  Lego Muñoz  &  Terri  L  Towner.  2009. Opening  Facebook:  How  to  Use Facebook  in  the  College  Classroom.        http://www46.homepage.villanova.edu/john.immerwahr/TP101/Facebook.pdf  [ 10 Julai  2012]
Cox, M. 1997. The effect of information technology on student motivation. Final Report . NCET.
Descy, D.E. All abroad the Internet dalam Journal TechTrends. Vol 26 No 5 m.s 3-5
Ghandi, Subash. 2001. E-Book – The future  of reading and ultimate book publishing, Journal Educational Technology System, Vol 29 (1) 49-66


Ibnu Khaldun. (2000). Muqaddimah Ibnu Khaldun (terj.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa danPustaka.
Khairul Nizam Mohd Khalid. 2012. Tarikan Laman Web dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam. Prosiding Seminar Antarabangsa Perguruan dan Pendidikan Islam (SEAPPI2012).Skudai.: Universiti teknologi Malaysia
Kuang-Wu, Lee. 2000 . English teacher barriers to the use of computer-assisted language  learning, The Internet TESL, Journal. Vol VI No 12.
Latifah Sidek, Akmariah Mamat,Noraziah Mhd Yusuf & Ab.Halim Tamuri.2010.ICT DalamPengajaran dan Pembelajaran (P&P) Guru-Guru Pendidikan Islam(GPT).1st InternationalConference on Islamic Education (ICIED 2010)   .hlm 324-333.
Levinson, P. 2009. New New Media. (Edisi Antarabangsa). New York: Pearson.
Mohamed Amin Embi. 2011. Aplikasi Web 2.0 Dalam   Pengajaran Dan Pembelajaran . Edisi E-Book. Bangi: Pusat Pembangunan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia
Muhammad Haron Husaini, Mohamad  Rofian  Ismail , Mohammad Imran Ahmad, Ghazali Zainuddin & Normah Husin. 2010. Persepsi Pelajar Terhadap Pengintegrasian Kemahiran Bahasa Arab Dengan Multimedia. Proceedings Of Regional Conference On Knowledge. 1st - 2nd Jun 2010., Palm Garden Hotel, IOI Resorts  Selangor .
Md Yusuff Daud,Mazalah, Ahmad,Maimun Aqsha Lubis.2006.Penggunaan Internet Dalam Aktiviti Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Islam.Prosiding wacana Pendidikan Islam (Siri 5) Hotel Vistana, Pulau Pinang 5-6 Ogos 2006.UKM.hlm131-135.
Musa Muhamad. 2001. Teknologi: Gunakan Kemudahan Sebaik Mungkin. Utusan Malaysia 28/6/2001. 
Nelson, J., Christopher, A., & Clif, M.  (2009). TPACK and Web 2.0:Transformation of Teaching and Learning. TechTrends, September/October 2009, 53(5), 80, pangkalan data Proquest.
Norkumala Awang. 2009. Dakwah dan Teknologi Teras Pembangunan Jiwa Ummah. Artikel dalam laman web IKIM  (http://www.ikim.gov.my /v5/index.  ( diakses pada 20  Jun 2012 )

Norizan Abdul Razak, Z Amir, Mahamood Ismail, Suhaidi Hasan. 2010. The impact of wireless technology among Malaysia society. Proceeding of the 9th  WSEAS international conference on Electronics hardware, wireless and optical communication. Hlm 54-59
NurAzween Zakaria & Nidzam Sulaiman. 2008.Media Alternatif Sebagai Agen Perluasan Ruang Bersuara Kajian Kes Pilihan Raya Umum Ke-12. Prosiding Seminar Politik Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) Universiti Teknologi MARA.
Robiah Sidin & Nor Sakinah Mohamad. 2007. ICT dalam Pendidikan: Prospek dan Cabaran dalam Pembaharuan Pedagogi. Jurnal Pendidikan 32: 139-152.
Rossafri Mohamad & Shabariah Binti Mohamad Shariff .2011. Kesan Penggunaan Laman Sosial ke atas Kaedah Perbincangan di dalam Pengajaran dan Pembelajaran  Mata Pelajaran Sejarah. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia, Jilid 1. Universiti Sains Malaysia.

Sidek Ab Aziz. 2009.Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pengajaran dan pembelajaran: Satu Pengenalan.Reka Bentuk Pembangunan,Aplikasi dan Penilaian system pengurusan pembelajaran, pp 1-17.UPM: Serdang.
Shaikh Mohd Saifudeen. 2002. Tekno-daie: Perspektif baru di lapangan dakwah. Kertas kerja Seminar Berdakwah Menerusi ICT- Perspekrif Dakwah Dalam Era ICT: Peluang dan Cabaran. Anjuran Kerajaan Negeri Melaka dan Jabatan Mufti  Negeri Melaka. 10 September 2002.
Siti Ezaleila Mustafa & Azizah Hamzah. 2010. Media Sosial: Tinjauan Terhadap Laman Jaringan Sosial Dalam Talian Tempatan.  Jurnal  Pengajian  Media  Malaysia 12(2) : 37–52.
Tajul Ariffin Bin Nordin .1993. Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur :Dewan Bahasa Dan Pustaka.
Tajul Ariffin Noordin. 1993. Pendidikan Suatu Pemikiran Semula. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Umar Halim & Samsudin A. Rahim. 2011. Penglibatan Digital: Akses Dan Penggunaan E-Agama Dalam Kalangan Generasi Muda Muslim . Jurnal Komunikasi Malaysian 27(2): 121-135.
V.Pang, Y.K Yap dan Y.M Tan. 1992.  Buku Sumber Komputer Dalam Pendidikan.  Kuala Lumpur : Siri Pendidikan Longman. 

Wan Zah Wan Ali. 2009. Syarat Pelaksanaan Pengintegrasian ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Bestari di Malaysia dalam Habsah Ismail, Mohd Hazwan MohdPuad, Shaffe Mohd Duad & Sharifah Md Nor (pnyt). Pengajaran dan Pembelajaran daripada Pelbagai Persektif. Serdang: Penerbit Universiti Putera Malaysia.
http://www.alexa.com/topsites/countries/MY ( diakses pada 10 Mei 2012 )
http://www.socialbakers.com/facebook-statistics/(diakses pada 21 Jun 2012 )

No comments: